Tuesday, 31 December 2019

Kombinasi Tiga Pegawai Kendali Kontinjen SUKMA 2020

SHARE


 
Ustaz Wan Sukairi (berdiri) berucap merasmikan Majlis Perhimpunan Kontinjen SUKMA 2020 Negeri Terengganu dan Solat Hajat Perdana di Kompleks Sukan dan Stadium Tertutup Gong Badak Kuala Nerus semalam.
KUALA NERUS, 31 Disember – Tiga pegawai kerajaan berpengalaman dinobatkan sebagai teraju baharu Kontinjen Sukan Malaysia (SUKMA) 2020 di Johor pada 11 hingga 29 Julai depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Zainal Abidin Hussin dilantik oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sebagai Ketua Kontinjen.

Sementara itu katanya, Pengarah Tanah dan Galian negeri (PTG), Tengku Seri Bijaya Raja, Dato’ Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil sebagai Timbalan Ketua Kontinjen I dan Pengarah Pelancongan Negeri, Ab Rasid Jusoh sebagai Timbalan Ketua Kontinjen II.

Solat hajat untuk kekalkan kejuaraan SUKMA 2020 diadakan di Stadium Tertutup Gong Badak Kuala Nerus semalan.

“Mereka bertiga adalah orang-orang yang sangat berpengalaman dalam sukan yang sudah tentu akan memberi sumbangan berkesan kepada pengurusan kontinjen,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Perhimpunan Kontinjen SUKMA 2020 Negeri Terengganu dan Solat Hajat Perdana di Kompleks Sukan dan Stadium Tertutup Gong Badak di sini semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Zuraida Md Noor dan ketiga-tiga pegawai berkenaan.

Ustaz Wan Sukairi ketika mengimbau kembali kejayaan negeri dalam sukan itu berkata, Terengganu pernah menjadi juara keseluruhan sebanyak lima edisi SUKMA sehingga kini.

Katanya, kejayaan paling manis ialah tahun lalu setelah merampas kembali keuaraan selepas tercicir edisi sebelumnya.

Jelasnya, tahun 2008 telah memahat sejarah bagi negeri Terengganu apabila kontinjen negeri itu berjaya buat pertama kalinya menjadi juara sukan berprestij itu.

“Pada masa itu kita menjadi tuan rumah dengan pungutan 61 pingat emas. Ramai orang berpendapat bahawa kita adalah jaguh kampung sahaja dan berjaya di gelanggang sendiri pada masa itu.

“Kemudian kita telah buktikan bahawa tanggapan orang ramai adalah salah apabila kita berjaya menjadi juara di bumi Melaka tahun 2010 dengan meraih 47 pingat emas,” ujarnya.

Katanya, temasya SUKMA Ke-13 di Melaka adalah yang terbaik dengan mencipta banyak rekod kejohanan dan rekod kebangsaan kerana atlet-atlet olimpik dibenarkan bertanding.

“Tahun itu Terengganu tidak mempunyai seorang pun atlet olimpian tetapi masih boleh berjaya,” jelasnya.

Beliau yang juga ADUN Wakaf Mempelam berkata, kejayaan tersebut telah diulangi lagi di SUKMA Ke-14 di Kuala Lumpur tahun 2011 dengan kutipan 30 pingat emas dan di Pahang tahun 2012 dengan pungutan pingat emas terbanyak iaitu 62 pingat.

Selepas daripada itu katanya kontinjen kita gagal mengekalkan kejuaraan untuk tiga edisi SUKMA berturut-turut iaitu di Kuala Lumpur tahun 2013 dengan menduduki tempat kedua dan meraih hanya 19 pingat emas.

“Dan terakhir di Sarawak tahun 2016 jatuh di tempat ketiga dengan meraih 46 pingat emas.

“Mungkin sekarang kita masih terasa kegembiraan tahun lepas, bila sekali lagi dinobatkan sebagai juara keseluruhan di Perak dengan meraih 56 pingat emas.

“Sedar tak sedar, tahun depan sekali lagi kontinjen negeri akan berdepan dengan cabaran SUKMA yang sama,” ujarnya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: