Sunday, 29 December 2019

Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia Lawat Abdul Hadi

SHARE

Oleh: Aziz Hambali

MARANG, 29 Disember - Bumi Malaysia bukan sahaja bertuah kerana sentiasa didatangi ulama dunia, malah rakyatnya didoakan oleh para alim ulama dari pelbagai latar belakang negara.

Terbaharu, Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia (KUIS), Ahmad Abdus Salam Ar-Rausuni mendoakan kebaikan buat mantan Naib Ketua Kesatuan Ulama Sedunia, Dato' Seri Abdul Hadi Awang dan menyeru rakyat Malaysia mengambil manfaat daripada Abdul Hadi.

"Semoga Allah memelihara Yang Berbahagia Ustaz Abdul Hadi, mudah-mudahan agama dan seluruh Muslimin beroleh manfaat daripadanya," tulisnya dalam satu kenyataan sempena Kunjungan Hormat Ketua KUIS ke Pejabat Presiden PAS, Rusila di sini semalam.

Terdahulu, beliau meluahkan rasa terharu kerana berpeluang bertandang ke kampung halaman Ahli Parlimen Marang itu seterusnya bersua muka dengannya.


"Saya dengan penuh sukacita dan berbahagia pada hari ini, Sabtu, 28 Disember 2019 telah mengadakan kunjungan hormat kepada Al-Akh Ad-Da’ieyah Al-Qa’id Ustaz Abdul Hadi Awang, Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Turut bersama beliau adalah para pegawai dan petugas partinya.

"Sesungguhnya saya mendapat banyak manfaat hasil daripada penjelasan yang disampaikan kepada saya tentang konflik yang dihadapi di Malaysia yang sangat unik dan rumit, sebagaimana saya dapati dan pelajari berdasarkan penilaian dan analisis mengenai situasi dan isu yang dihadapi oleh umat Islam saat ini," kata beliau.

Syeikh Dr Ahmad Ar-Rausuni merupakan Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia yang baharu dilantik pada muktamar yang diadakan akhir tahun lepas, 2018 menggantikan Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi.

Turut hadir mengiringi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi dan ADUN Pengkalan Berangan Ustaz Sulaiman Sulong.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: