Monday, 30 December 2019

Kerajaan Negeri Akan Atasi Masalah Kebocoran Masjid Kristal Secepat Mungkin

SHARE


KUALA TERENGGANU, 30 September- Kerajaan negeri akan berusaha menyelesaikan masalah kebocoran Masjid Kristal di Taman Tamadun Islam yang berlarutan sejak dua tahun lepas dengan secepat mungkin.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Budaya dan Teknologi Maklumat negeri Ariffin Deraman berkata, Masjid Kristal terpaksa ditutup kerana kubahnya rosak serta bocor dan memerlukan kos baik pulih sebanyak RM2 juta.

Katanya, kerja untuk membaikpulih kerosakan masjid unik itu telah dimulakan awal tahun dan sepatutnya siap September lalu, tetapi mengalami kelewatan disebabkan kekangan bajet dan perlu dilaksanakan oleh kontraktor yang berpengalaman.

Bagaimanapun menurut Ariffin, kerajaan negeri sudah mengenalpasti kontraktor asal serta sedang berusaha mendapatkan bantuan dari syarikat multinasional untuk membiayai proses pembaikan masjid itu sebagai satu daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan perkembangannya adalah positif.

"Untuk memastikan masalah itu selesai sepenuhnya, kubah yang ada perlu dicabut, diletak gam baharu dan kemudian dipasang semula namun kosnya terlalu tinggi yang dianggarkan RM2 juta," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media program Sambutan Ambang Tahun Baru 2020 Peringkat negeri di Duyung Marina & Resort, semalam.

Turut hadir,  Pengarah Jabatan Pelancongan negeri, Ab Rasid Jusoh.

Difahamkan, masalah kebocoran menyebabkan masjid itu terpaksa ditutup kepada pelancong dan hanya boleh melihat keindahan luarannya sahaja dan ini telah menimbulkan rungutan dalam kalangan pelancong.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: