Wednesday, 4 December 2019

Keluarga Terkepung Banjir Diberi Perhatian

SHARE


Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN, 4 Disember- Lebih 30 Keluarga yang terkepung banjir dan enggan berpindah diberi perhatian oleh Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman dengan melakukan ziarah kebajikan

Katanya, mangsa terkepung banjir berkenaan melibatkan penduduk Kampung Minda dan Kampung Lintang yang memilih untuk tidak berpindah diberi nasihat ketika disantuni agar berpindah jika berlaku banjir akan datang.

"Ini kerana apabila jalan terputus dan laluan utama tidak dapat dihubungkan mereka terkepung.

"Sementelah lagi mereka yang tidak berada di pusat pemindahan tidak akan diberi bekalan makanan dan kita risau jika sekiranya perkara yang tidak diingini akan berlaku ekoran keengganan mereka untuk berpindah," ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika melakukan ziarah banjir di kedua kampung berkenaan, semalam.

Misi berkenaan telah digerakkan melalui Sukarelawan Pusat Khidmat Malaysia DUN berkenaan.

"Kita cuba untuk sampaikan semua kepada mangsa-mangsa dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda kerana masih ada tempat-tempat yang tidak boleh dilalui kenderaan ringan," jelas beliau.

Beliau turut berterima kasih kepada Persatuan Peniaga Keropok Daerah Kemaman, dan Perniagaan Keropok Cenderawasih yang turut bersama menyumbang dan menyertai misi berkenaan semalam.

Sementara itu Penolong Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Bukit Besi, Zakiah Alias berkata Program Dapur Muslimat telah turut digerakkan.

"Dengan kita menyediakan makanan tengahari sebanyak lebih daripada 100 bungkus untuk diagihkan kepada mangsa banjir.

"Kerana kita sedar mereka tidak sempat untuk menyediakan makanan didalam keadaan demikian dan juga bertujuan untuk menyantuni mereka dengan memberi sedikit nasihat dan peringatan agar mereka tabah menerima ujian daripada Allah SWT," jelas beliau.

Untuk rekod, semua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Bukit Besi telah pun ditutup kerana tiada lagi mangsa banjir.

Terdahulu, beberapa PPS telah dibuka melibatkan Kampung Pasir Raja, Kampung Talong, Kuala Jengai, Kampung Minda, Kampung Jonggok Batu, Kampung Lintang, Kampung Belimbing, Kampung Tepus dibuka  bermula 29 November lalu.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: