Sunday, 1 December 2019

Kejohanan Tandingi Monsoon Cup

SHARE
Pelayar Terbaik disandang oleh Alif Safares Azmi (kiri), pelayar dari Terengganu.
KUALA NERUS, 1 Disember – Kerajaan Terengganu berharap Kejohanan KFC - Terengganu Monsoon Challenge (TMC) Sailing GP 2019 dapat dinaiktaraf dengan mempertandingkan Perahu Layar Kelas X36 iaitu kelas yang pernah dipertandingkan ketika kegemilangan Monsoon Cup satu ketika dahulu.

Sehubungan itu, Menteri Besar Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyarankan agar usaha ke arah tersebut dimulakan oleh pihak-pihak yang berkenaan.

Beliau menyarankan demikian ketika merasmikan Majlis Penutup KFC - Terengganu Monsoon Challenge (TMC) Sailing GP 2019 di Duyong Marina Resort di sini hari ini.
Best Team dimenangi oleh pelayar-pelayar Terengganu.
Teks Ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ustaz Sulaiman Sulong, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof Ir Dr Nor Azuan Abu Osman, Ahli Lembaga Pengarah UMT, Dato’ Asmawi Nordin dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ibni Amin Busu.

ADUN Rhu Rendang itu berkata, kejayaan pengajuran tahun 2017 dan 2018 memberi petunjuk bahawa  acara ini mampu menggantikan kehebatan penganjuran Monsoon Cup yang diadakan sebelum ini.
Hishamuddin (dua dari kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang Kejohanan KFC- Terengganu Monsoon Challenge (TMC) Sailing GP 2019 di Duyong Marina Resort.
Katanya, kejohanan ini adalah pengajuran kali ketiga di mana UMT Terengganu Sailing Association dan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu telah menganjurkannya sebelum ini.

“Setinggi penghargaan dan syabas saya ucapkan kepada pusat pelayaran UMT, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Terengganu Sailing Association (TESA) dan Terengganu Windsurfing Association di atas pengajuran bersama kejohanan ini melibatkan hampir 250 peserta dari dalam dan luar negara,” jelas beliau.

Kejohanan ini katanya, merupakan satu produk pelancongan negeri dengan muara sungai Terengganu menjadi tempat acara.
Alif (kiri) bersama hadiah kemenangan.
“Lokasinya hampir dengan Water Front Kuala Terengganu yang menjadi tempat tontonan orang ramai. Kelebihan ini jarang ada pada negeri-negeri lain.

“Kerajaan Negeri Terengganu berharap kejohanan ini diteruskan pada tahun akan datang bagi menyokong pembangunan sukan layar negeri Terengganu,” ujarnya.

Menurut beliau Kerajaan Terengganu telah memberi fokus terhadap pembangunan sukan layar sejak sekian lama.

“Dan hasilnya telah nampak apabila Terengganu muncul juara keseluruhan dalam sukan pelayaran di Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-19 di Perak tahun lalu selepas berjaya memungut lapan pingat emas dan tiga perak.

“Pelayar-pelayar Terengganu juga sedang mewakili di Sukan SEA 2019 di Filipina sekarang termasuk Dennis Kane, Fatin Solehah, Ilham Wahab dan Omar Al-Faruq,” jelasnya lagi.

Bagi pihak kerajaan negeri Terengganu, beliau mengucapkan berbanyak terima kasih kepada peserta-peserta dari China, Nederlands, Singapura, Persatuan-persatuan-persatuan pelayar negeri dan wakil-wakil Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang menyertai kejohanan kali ini.

“Kami juga mengucapkan berbanyak terima kasih kepada para jemputan yang sudi hadir ke majlis perasmian dan penutup ini walaupun maklum dengan keadaan cuaca yang kurang baik,” ujarnya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: