Wednesday, 4 December 2019

‘Kami Nak Tolong Juga’

SHARE

Wan Muhammad Zukri (berbaju coklat) dan Muhammad Hasanul (baju kuning) ketika membantu menolak perahu merentasi jalan yang ditenggelami banjir.

KUALA NERUS, 4 Disember- Umur yang muda tidak menjadi alasan buat dua sahabat, Wan Muhammad Zukri Firdaus Wan Ibrahim,12, dan Muhammad Hasanul Basri Yusuf,12, untuk membantu orang lain.

Berdepan bencana banjir yang melanda negeri Terengganu, kedua-dua remaja Kampung Pengkalan Gelugor itu bersama beberapa orang lagi rakannya meringankan ‘tulang’ untuk membantu peduduk kampung yang tersekat dalam banjir.

Walaupun suka bermain sebagaimana kanak-kanak lain yang suka bermain air banjir, Wan Muhammad Zukri dan Muhammad Hasanul turut membantu orang kampung mendayung dan menolak perahu bersama-sama pemuda-pemuda kampung.

“Kami hendak tolong juga ‘sikit-sikit’, apa-apa yang boleh,” katanya ketika ditemui dalam kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim ke Kampung Pengkalan Gelugor, hari ini.
Hishamuddin menyampaikan pek bantuan ke salah satu penghuni rumah yang terlibat.

Muhammad Hasanul turut memaklumkan, sebagai anak kampung itu yang biasa dengan sungai, mereka tetap diawasi para pemuda kampung sebagai langkah keselamatan.


“Kami sudah biasa dengan air dan semuanya pandai berenang, tetapi kami lebih banyak membantu di kawasan yang cetek sebagai langkah keselamatan,” ujarnya.


Dalam kunjungan itu,  Hishamuddin turut menyampaikan pek bantuan segera berupa barangan mentah kepada 22 buah keluarga di sana yang terputus bekalan makanan.
Sebahagian remaja dan pemuda kampung yang membantu penduduk untuk keluar menggunakan perahu.

Menurutnya, apabila banjir kawasan tersebut akan menjadi seperti pulau dan menyukarkan mereka keluar ke jalan besar.

“Biasanya, hanya sebahagian rumah dinaiki air manakala sebahagian lagi dikategorikan sebagai rumah yang terperangkap menyebabkan penduduk terputus bekalan.

“Cuma, banjir di sini biasa terjadi dan sepanjang pemerhatian saya di kawasan Tepoh, kita tiada lokasi yang bahaya melainkan agak membebankan penduduk dari segi air masuk ke dalam rumah sahaja,” jelasnya.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: