Sunday, 1 December 2019

KALIMAT Angkat Kehebatan Ulama Dan Umara

SHARE


KUALA TERENGGANU, 1 Disember- Program Kembara Melestarikan Itqan Al-Muluk bita'dil as-Suluk (KALIMAT) mengangkat kehebatan para ulama dan pemimpin negeri Terengganu yang telah menggubal satu undang-undang perlembagaan negeri bagi mendaulatkan Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, Itqanul Muluk merupakan undang-undang tubuh bagi kerajaan Negeri Terengganu yang telah digubal pada zaman pemerintahan Sultan Zainal Abidin ke-3 pada 2 November 1911.

“Antara tujuan utama penggubalan undang-undang Itqanul Muluk adalah bagi memelihara kedaulatan agama Islam dan kesejahteraan Negeri Terengganu disamping menghalang campur tangan British dalam pentadbiran negeri pada ketika itu.

“Undang-undang ini adalah satu bukti kehebatan sultan dan ulama dimana ianya mengingatkan umat Islam mengenai perkara besar dalam syariat Islam iaitu kewajipan menegakkkan negara dan pemerintahan Islam,”ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penutup Kembara Melestarikan Itqan Al-Muluk bita'dil as-Suluk (KALIMAT) yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Yahaya Ali di di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam (TTI), hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan, Dakwah dan Penerangan Negeri, Ridzuan Hashim dan Pensyarah Fakulti Undang-Undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Madya Dr Syamrahayu Ab. Aziz.

Katanya, melalui undang-undang Itqanul Muluk inilah kedaulatan agama Islam dan kesejahteraan Negeri Terengganu terpelihara daripada campur tangan pihak luar khususnya British.

“Secara umumnya, undang-undang Itqanul Muluk mengatur tatacara dan garis panduan dalam pelantikan pemerintah negeri dan menjadikan ia sumber rujukan perundangan.

“Undang-undang ini mempunyai Mukadimah, peruntukan undang-undang sebanyak 53 Fasal dan Khatimah iaitu penutup yang memuatkan peraturan mengenai pelantikan Raja, kaedah pemerintahan, pelantikan Menteri dan Menteri Besar, Ahli Mesyuarat Kerajaan, Undang-undang dan Adat Negeri serta kedudukan Islam sebaga agama rasmi negeri,”ujarnya.

Katanya, kedaulatan Islam hanya mampu ditegakkan jika ulama dan umara berganding bahu dalam melaksanakan tanggungjawab dan memainkan peranan masing-masing selari dengan tuntutan syarak.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: