Sunday, 15 December 2019

‘Jangan Makan Beras Luput Tarikh’ - Dr Azman Ibrahim

SHARE
Dr Azman Ibrahim.
Oleh: Hidayah Azlin

SETIU, 15 Disember - Rakyat Terengganu perlu menyedari dan memahami tentang kepentingan ‘Food Security’ terutamanya melibatkan makanan asasi demi kesihatan diri dan keluarga.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, memperbesarkan produk dari luar berbanding negara sendiri tanpa mengkaji terlebih dahulu seolah-olah menjadi trend dalam kalangan masyarakat hari ini.

Katanya, perkara itu begitu membimbangkan kerana ia membabitkan aspek jaminan makanan setiap rakyat yang akhirnya boleh membawa kepada kemerosotan kesihatan.

“Contoh beras di Thailand. Selepas dikilangkan, beras mesti habis dijual dalam tempoh tiga bulan sahaja.

“Selepas itu ia dianggap beras yang tidak lagi berkualiti untuk dimakan oleh manusia dan mesti dilupuskan sebagai makanan ternakan. Tetapi, saya yakin bahawa bukan semua ‘beras luput’ ini dijadikan makanan ternakan.

“Saya bimbang orang Thailand sudah tidak makan tetapi kita di Malaysia yang rasa hebat apabila boleh makan beras Siam,” ujarnya dalam satu kenyataan di laman ‘Facebook’ rasminya hari ini.

Tambahnya lagi, masyarakat seharusnya mengambil berat soal kualti makanan harian berbanding dengan hanya sekadar mengikut trend dan memilih beras yang berharga murah semata-mata.

Berikutan perkara tersebut, ia meningkatkan lagi keazaman Kerajaan Terengganu untuk menghasilkan padi beras negara supaya rakyat mendapat bekalan yang berkualiti dan keluaran negara sendiri.

“Tak perlu bangga dengan produk makanan asasi keluaran negara orang. Ini satu lagi makna 'food security' yang perlu difahami rakyat kita,” katanya lagi setelah mengadakan lawatan dan perbincangan dengan pihak terlibat dalam industri padi beras di Thailand, Jumaat lalu.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: