Thursday, 26 December 2019

Imej Suram Bandar Baharu Kertih Bakal Berakhir

SHARE



Oleh : Khalid Abdullah

KEMAMAN, 26 Disember - Bagaikan taman berhantu, begitulah keadaan perumahan di Jalan Dulang, di Bandar Baharu Kertih di sini, dikelilingi perumahan terbengkalai dan terbiar sehingga mengundang perasaan takut kepada mereka yang melalui kawasan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili berkata namun imei suram itu akan berakhir apabila pihak kerajaan bersetuju memulihkan kembali keadaan tersebut.

Katanya, kerajaan negeri melalui Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) akan membangunkan Projek Bandar Baharu Kertih Fasa 2 di tapak berkenaan tidak lama lagi.

“Kerja-kerja meroboh tapak rumah teres terbengkalai sejak puluhan tahun itu sedang giat dilakukan dan dijangka siap pada Mac 2020 nanti.

“Pada tahun 2020 nanti, pihak PMINT akan fokus kepada pembinaan 47 unit rumah teres satu tingkat dan 92 unit teres dua tingkat, yang dijangka siap pada tahun 2022,” ujar Ir Saiful Azmi.



Beliau berkata demikian selepas selesai mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pemulihan Bandar Baharu Kertih yang turut dihadiri  Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, PMINT, Wan Adnan Wan Derahman bersama kumpulan pengurusan kanan beliau di Kertih, baru-baru ini.

Menurut Ir Saiful Azmi, bajet bagi pelaksanaan Taman Rekreasi Awam berhampiran Bandar Baharu Kertih telah diperolehi daripada Jabatan Landskap Negara.

“Sebuah masjid baharu juga akan dibina, manakala semak-samun akan dibersihkan sehingga pemandangan luas Laut China Selatan dapat dilihat dari Bandar Baharu Kertih,” jelas beliau.



Sementara itu menurut Wan Adnan, keperluan untuk menambahbaik akses untuk laluan keluar masuk ke kawasan Bandar Baharu Kertih akan diberi keutamaan.

“Ketiadaan ‘anchor tenant’ atau jenama perniagaan yang dikenali bagi menarik aktiviti ekonomi dan pengunjung perlu diberi perhatian.

“PMINT bercadang membina 10 unit kiosk ‘food court’ pada tahun 2020 termasuk cadangan penyelenggaraan dan keceriaan jalan, tempat letak kenderaan serta landskap untuk memastikan Bandar Baharu Kertih tidak lagi suram,” ujarnya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: