Monday, 2 December 2019

Dua Abang Redah Banjir Demi Nyawa Adik Lumpuh

SHARE
Normazni meriba Muhammad Rasydan Sufi di PPS Kampung Batu 23


HULU TERENGGANU, 2 Disember - Kalau orang lain sibuk menyelamatkan harta benda, seorang ibu bersama dua anak lelakinya pula hanya memikirkan keselamatan Muhammad Rasydan Sufi Othman, 9, yang lumpuh selepas terlibat kemalangan tiga bulan lalu.

Dua orang abang sanggup bergadai nyawa dan bergilir-gilir mengharungi air separas dada sambil mendukung adiknya setelah kediaman mereka dinaiki air kira-kira jam 10 malam semalam.

Menurut Normazni Mohd Nawi, 49, air yang naik mendadak di kediaman mereka menimbulkan rasa panik dan kelam kabut kepada mereka sekeluarga kerana memikirkan tentang keadaan anak kedua bongsunya,

"Air dah naik jam 10 malam semalam, tapi waktu tu agak gelap jadi saya tak berani nak berpindah dan memutuskan untuk tunggu keesokannya.

"Tak sangka pula pada sebelah pagi air naik mendadak. Mujurlah dua abang kepada Rasydan ada di rumah dan kedua-duanya bergilir mendukung dia untuk ke PPS," katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kampung Batu 23, di sini, hari ini.

Menurut Normazni, Muhammad Rasydan Sufi dilanggar sebuah kereta dalam perjalanan untuk pulang ke rumah selepas menunaikan solat Jumaat di masjid berhampiran.

"Kemalangan tersebut mengakibatkan Rashyan  tidak dapat bergerak dan berjalan seperti biasa kerana  kecederaan saraf dan hanya terlantar di katil.

"Dia juga tidak dapat bercakap selepas insiden itu dan hanya mampu memberikan isyarat sekiranya mahu meminta sesuatu," katanya.

Dalam pada itu, Normazni berkata  kini terpaksa bergantung kepada bekalan susu dan lampin pakai buang yang disumbangkan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

Katanya lagi, dia dan suaminya, Othman Jusoh, 56, membawa Muhammad Rasydan ke Hospital Hulu Terengganu untuk menjalani rawatan fisioterapi setiap khamis.

"Kami bawa dia berubat merata tempat.  Alhamdulillah usaha ini berbaloi kerana sudah nampak sedikit perubahan," katanya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: