Wednesday, 4 December 2019

Data Padi Musnah Akibat Banjir Sedang Dikumpul

SHARE

 
Dr Azman (tengah) menemui penduduk DUN Jabi dalam Program Jelajah Dari Rumah Ke Rumah tangani mangsa banjir.

SETIU, 4 Disember - Kerajaan negeri sedang berusaha mengumpulkan data dan maklumat mengenai jumlah kerugian ditanggung oleh petani akibat tanaman mereka musnah kerana musibah banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian , Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri Dr Azman Ibrahim berkata, lebih 400 hektar padi termasuk lebih 300 hektar di Besut dan lebih 100 hektar di Setiu, di tenggelami air dan tidak sempat dituai.

“Saya telah mengarahkan Jabatan Pertanian Negeri Terengganu untuk mendapatkan maklumat dan data (akibat kemusnahan itu) bagi dikemukakan kepada Ibu Pejabat Pertanian di Purtajaya yang menyediakan sejumlah kecil peruntukan dalam skop bencana sementara Tabung Bencana Petani Terengganu berfungsi tahun depan.

Dr Azman (kanan) temui seorang penduduk di DUN Jabi Santuni Mangsa Banjir.
“Tabung Bencana Petani yang baru diluluskan dalam Bajet tahun 2020 negeri Terengganu berjumlah RM500,000 belum lagi berfungsi.

“Peruntukan ini akan mula menabur bakti kepada petani bermula tahun hadapan,” jelas beliau.

ADUN Jabi itu berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan program bantuan mangsa banjir dari rumah ke rumah di Kampung Kerandang Jabi di sini semalam.

Dr Azman Ibrahim (tengah).
Turut hadir, Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Ustaz Mohd Soud Said.

Dr Azman berkata bagi tahun ini kerajaan negeri sedang mendapatkan peruntukan di bawah Jabatan Pertanian untuk tahun ini bagi menyediakan modal petani untuk memulakan musim penanaman baru.

“Walaupun bukan dalam jumlah ganti rugi tetapi petani-petani kita perlu disantuni untuk mereka menampung kalau tidak keseluruhan, sebahagian daripada kerugian kerana mereka juga perlukan modal untuk memulakan musim penanaman baru,” ujarnya.

Menyentuh soal banjir pula beliau berkata, semua empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di DUN Jabi telah pun ditutup.

“Cuma hari ini (semalam) kita teruskan program jelajah dari tangga ke tangga untuk menghulurkan bantuan kepada masyarakat di sekitar Jabi yang terkesan kerana banjir.
“Majoriti daripada masyarakat Jabi adalah penoreh getah sebagai sumber pendapatan utama mereka.

“Oleh kerana musim hujan agak lama, penoreh getah tidak dapat menoreh selama sebulan walaupun mereka bukan mangsa yang berpindah di pusat-pusat pemindahan, keutamaan kami juga adalah untuk menyantuni,” ujarnya lagi.

Menurut beliau, majlis untuk mengagihkan bantuan kepada mangsa banjir tidak diadakan tetapi ADUN itu menyantuni masyarakat dengan cara menziarahi dan menghulurkan bantuan dari rumah ke rumah.

“Sejak daripada dahulu, kita tidak pernah mengadakan majlis untuk mengagihkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir tetapi kita menyantuni mereka dari tangga ke tangga bertemu masyarakat.

“Daripada dua hari lepas lagi kita telah masuk kampung bertemu masyarakat, rasanya sebahagian besar daripada masyarakat Jabi yang terjejas banjir telah disantuni dengan barang-barang keperluan harian,” jelasnya.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: