Wednesday, 4 December 2019

'Comel' Terselamat Banjir

SHARE


Oleh: Amiirullah Mansor

DUNGUN, 4 Disember- Dalam kekalutan menyelamatkan ahli keluarga dan barangan penting, seorang pemuda hanya sempat menyelamatkan seekor daripada enam kucing peliharaannya ketika banjir melanda Kampung Delong, baru-baru ini.

Pemilik kucing berkenaan, Zamri Che Anera, 31, berkata, kucing yang diberi nama Comel itu merupakan antara kucing kesayangannya dan bersyukur kerana dapat diselamatkan dengan dibawa bersama ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Katanya, dalam masa yang sama dia tetap bimbang akan keselamatan kucing yang lain.

"Air naik begitu cepat dan hanya Comel yang sempat dibawa bersama dan lima ekor lagi naik sendiri ke atas atap,

“Yang terkilannya nasib kucing-kucing itu belum diketahui samada masih hidup atau mati," katanya ketika ditemui pemberita di PPS Kampung Delong yang bertempat di Sekolah Kebangsaan Delong, hari ini.


Sementara itu, Yang Dipertua PAS Kawasan Dungun, Wan Hassan Wan Ramli Mohd Ramli yang turut menziarahi ke PPS terbabit berkata, keadaan banjir di Dungun semakin pulih.

"Hari ini kita turun bersama Jabatan Amal Dungun dan Dewan Pemuda PAS Dungun menyampaikan bantuan ke tiga buah PPS.

Walaubagaimanapun, keadaan di tempat yang dinaiki air semakin baik dan mangsa banjir yang tinggal di PPS juga semakin berkurangan," ujarnya.

Jelasnya, pada hari ini mangsa yang terlibat sudah mula pulang ke rumah masing - masing untuk membersih dan membaikpulih yang rosak.

"Kita ada Jabatan Amal Dungun yang menyediakan pasukan untuk membantu kepada masyarakat yang memerlukan,” jelasnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: