Saturday, 28 December 2019

Binjai Bongkok FC Rangkul Trofi YB Marang

SHARE
Ayah Chik bersama pasukan BBFC.

MARANG, 28 Disember - Binjai Bongkok FC (BBFC) muncul juara Piala Ahli Parlimen Marang selepas menumpaskan Surau Haji Daud (SUHADA) FC dengan jaringan 2-0 semalam.

Kejuaraan itu hadir hasil jaringan Mohd Fizri Ghani dan Azulaimi Sulaiman pada setiap babak.

Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Abdul Hadi Awang menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada semua para pemenang.

Menurut Abdul Hadi, kejohanan berkenaan mampu mengasah bakat anak muda dan menyuburkan potensi masing-masing ke peringkat yang lebih tinggi.

"Insya-Allah kerajaan negeri akan terus menggalakkan aktiviti seperti terutamanya melibatkan anak-anak muda di pelbagai peringkat," katanya ketika berucap.

Dalam kejohanan yang berlangsung di Padang Bola Majlis Daerah Marang, perlawanan bermula seimbang dengan aksi berbalas serangan daripada kedua-dua pasukan.



Namun, pada minit ke-32, Fizri berjaya memecah kebuntuan hasil gerakan menarik yang bermula dari tengah padang.

Fizri yang tidak dikawal, meledak satu jaringan cantik bagi menggamatkan padang dan hampir 400 penyokong.

Kedudukan 1-0 memihak BBFC kekal hingga tamat separuh masa pertama meskipun SUHADA FC melancarkan beberapa serangan merbahaya.

Bersambung separuh masa kedua, BBFC yang mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) Alur Limbat cuba menggandakan jaringan dengan serangan awal ke kubu SUHADA FC.

Hasilnya, pada minit ke-59 Azulaimi memanfaatkan sepenuhnya kelekaan pertahanan SUHADA FC untuk jaringan kedua BBFC, kedudukan 2-0 itu kekal hingga wisel penamat.

BBFC selaku juara membawa pulang wang tunai RM4,000, piala dan jersi manakala pasukan SUHADA FC yang menjadi naib juara pula membawa pulang wang tunai RM2,000 berserta jersi.

BBFC dan SUHADA FC layak secara automatik mewakili Parlimen Marang ke Kejohanan Piala Menteri Besar (MB) Terengganu yang dijangkakan berlangsung pada Februari tahun hadapan.





SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: