Sunday, 29 December 2019

Bantu Generasi Felda Ternak Puyuh

SHARE

Oleh: Khalid Abdullah 

KEMAMAN, 29 Disember - Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan (GENERASI) bersedia membimbing generasi kedua dan ketiga dalam kalangan anak Felda yang berminat menternak puyuh bagi membantu mereka menjana pendapatan baharu.

Pengerusi GENERASI Terengganu, Mohd Rusman Rani berkata, usaha ini jika dijayakan akan melahirkan ramai penternak puyuh memandangkan aktiviti ini tidak memerlukan modal besar dan boleh diusahakan di kawasan rumah.

“Penternakan burung puyuh di kalangan masyarakat kita masih di tahap kecil-kecilan kerana ramai menganggap penternakan ini susah untuk mencapai ke tahap komersial.


“Kebanyakan penternak pula mengamalkan cara penternakan tradisional dan tidak melakukannya secara meluas,” ujarnya di Kertih di sini baru-baru ini.

Mohd Rusman bersama 10 anak muda Felda mengikuti Kursus Ternakan Puyuh anjuran Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) di Al-Muktafi Billah Shah, Dungun.

Menurutnya juga, usaha ini boleh membantu sektor pertanian di negeri ini dengan adanya pengeluar utama telur atau daging puyuh yang sekali gus dapat membuka ladang ternakan.


“Justeru, dengan menyertai kursus seumpama ini, ternyata ia dapat memberi banyak ilmu pengetahuan tentang bagaimana prosedur penternakan ini dapat menjana pendapatan khusus kepada anak-anak Felda ini sendiri dan orang ramai yang berminat dalam kerjaya ini,” katanya lagi.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: