Thursday, 26 December 2019

Amaran Keras Kepada Pemilik Haiwan Berkeliaran

SHARE
Dr Alias Razak.

KUALA TERENGGANU, 26 Disember - Pemilik haiwan ternakan diberi amaran supaya mengawal pergerakan ternakan masing-masing dan tidak membiarkan berkeliaran sehingga memasuki jalan raya serta laluan utama kenderaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak menegaskan, pihaknya sentiasa memantau keadaan terkini serta merancang untuk mengadakan operasi haiwan merayau secara besar-besaran dan bersepadu dalam masa terdekat.

Katanya, operasi yang turut membabitkan beberapa agensi berkuasa itu adalah bagi memastikan kelancaran jalan raya dan mengelakkan kemalangan daripada terus berlaku.

“Pelbagai usaha telah kita jalankan untuk mengawal haiwan ternakan daripada memasuki laluan kenderaan, namun sikap pemilik ternakan yang tidak bertanggungjawab merunsingkan kita.

“Sebelum ini kita juga telah mengadakan oeprasi dan mengambil tindakan kompaun, namun isu berkenaan seolah-olah tidak menjadi pengajaran kepada penternak lain,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Mengulas tentang kemalangan yang hampir meragut nyawa tiga pemandu di Kilometer (KM) 422.3, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2), (Ajil-Kuala Terengganu), semalam, beliau berkata, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan pihak lebuhraya bagi memastikan perkara itu tidak berulang.

Katanya, pihaknya tetap akan mengkaji penyelesaian terbaik walaupun LPT2 bukan berada di bawah kerajaan negeri secara langsung.

“Kita juga memohon agar tiada pihak, sama ada pemilik haiwan atau orang awam memotong pagar-pagar yang dibina di lebuhraya tersebut.

“Kerjasama orang ramai dalam membanteras perkara ini juga sangat diperlukan sementara pihak kerajaan menyiapkan kaedah terbaik bagi menangani amsalah ini,” tegasnya.

Dr Alias turut berkata, pemilik ternakan yang gagal mematuhi arahan bakal berdepan kompaun sebanyak RM250.

Katanya lagi, sekiranya pemilik ternakan tidak membuat tuntutan ternakan antara tujuh hingga 14 hari selepas ditangkap, bukan sahaja kompaun tetapi turut dikenakan kos tebus serta caj tambahan sebanyak RM10 (seekor haiwan) setiap hari.

Dalam kejadian pada jam 6.30 pagi itu, pemandu kereta jenis Perodua Myvi dan pemandu kereta jenis Toyota Corolla Altis mengalami kecederaan ringan manakala pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Wish tidak mengalami sebarang kecederaan.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: