![]() |
Mohd Shafizi mengagihkan Kad Sejahtera kepada penerima yang layak. |
KUALA NERUS, 4 Disember –
Seramai 460 penduduk berpendapatan rendah di Dewan Undangan Negeri (DUN)
Batu Rakit menerima bantuan perubatan di secara percuma klinik swasta melalui pemberian
kad sejahtera.
Pegawai Penyelaras DUN Batu
Rakit, MOhd Shafizi Ismail berkata, menerusi pemberian kad itu, penerima layak untuk mendapatkan rawatan kesihatan
berjumlah sehingga RM500 setahun di klinik swasta yang
dilantik kerajaan negeri.
Jelasnya, klinik yang
terpilih di daerah Kuala Nerus ialah Klinik Ihsan di Wakaf Tengah, Klinik
Affeya di Gong Badak, Klinik Adnin dan Klinik An-Nisa’ di Batu Enam, Klinik
Perubatan Durrani di Gong Badak, Klinik Mujahid Paya Datu serta Klinik Rohana dan
Seripah di Taman Semarak.
“Seperti yang dijanjikan
dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, kerajaan negeri komited
merealisasikan program ini berdasarkan keperluan kebajikan dari aspek kesihatan
rakyat.
“Secara tidak langsung,
Kad Sejahtera mampu memberi pilihan kepada golongan sasar untuk mendapatkan
rawatan pesakit luar di klinik-klinik swasta terpilih sekali gus dapat
mengurangkan kesesakan di pusat kesihatan mahupun hospital kerajaan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam
Majlis Perasmian Penyerahan Kad Sejahtera di Dewan Sivik Pantai Batu Rakit, di
sini semalam.
Turut hadir adalah Timbalan
Majlis Tindakan DUN (MTD), Sulaiman Ismail dan Penyelia Institut Modal Insan
Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Mohd Fauzi Muda.
Menurut Mohd Shafizi, walaupun
kerajaan negeri berdepan dengan kekangan kewangan yang terhad, tetapi masih
mampu melaksanakan janji yang dikemukakan.
“Kita semua sedar bahawa
ekonomi sekarang tidak menentu, ditambah pula dengan kewangan kerajaan negeri
yang dipotong untuk pembayaran hutang terdahulu.
“Namun, kerana Kad Sejahtera
ini adalah janji kita dalam PRU lalu, kita harus mencari jalan yang terbaik untuk
melunaskan janji ini,” tambah beliau.
0 komen: