Saturday, 28 December 2019

1,639 Peserta Berkayuh Promosi Pelancongan Terengganu

SHARE
Wan Sukairi bersama 1,639 peserta. Foto oleh - Wan Luqman Hakim.

KUALA TERENGGANU, 28 Disember – Cuaca yang baik sejak beberapa hari lalu memberi peluang kepada lebih 1,639 peserta program ‘Kayuhan Terengganuku Comey 2019’ berkayuh mempromosi pelancongan menarik Terengganu hari ini.

Kayuhan sejauh 41.5 kilometer (km) merupakan langkah kerajaan meningkatkan lagi kehadiran pelancong ke negeri itu.

Majlis pelepasan peserta disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah di Dataran Batu Buruk tepat jam 8.00 pagi tadi.

Dalam pada itu, acara cabutan bertuah yang menyajikan hadiah lumayan seperti motosikal Y15 menambah kemeriahan program.

Hadir menyempurnakan majlis penyampaian hadiah ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman.
Ariffin Deraman gembira program tersebut mendapat respon positif masyarakat. Foto oleh - Amar Salehuddin.
Sementara itu, pemenang motosikal Y15, Shahrul Izuan Saari, 32, gembira apabila diumumkan memenangi cabutan berkenaan.

Katanya, hadiah tersebut akan diberikan kepada ayah dan ibunya untuk berulang alik ke tempat kerja yang sekali gus memudahkan urusan mereka sekeluarga.

“Alhamdulillah, rezeki saya, dan saya sangat menggalakkan agar program seumpama itu terus dirancakkan setiap masa.

“Ia mampu mempromosikan Terengganu, di samping membina sebuah masyarakat yang sejahtera dan sihat,” tambah beliau.

Selain peserta tempatan, peserta dari luar negeri seperti Melaka, Pahang, Kelantan dan Kuala Lumpur turut memeriahkan program.


Peserta merentasi jambatan angkat.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: