Wednesday, 13 November 2019

Waspada Angin Kencang di Terengganu, Kelantan

SHARE
Foto ihsan - Harian Metro.


KUALA TERENGGANU, 13 November - Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan notis amaran cuaca waspada peringkat kuning di Terengganu dan Kelantan berikutan luruan angin timur laut yang dijangka bertiup kencang di beberapa kawasan di dua negeri berkenaan pada Khamis dan Jumaat ini.

Ketua Pengarahnya, Jailan Simon berkata berikutan luruan angin itu, hujan berterusan dan angin kencang dengan kelajuan melebihi 50 kilometer sejam (kmsj) dengan ombak melebihi 3.5 meter dijangka berlaku di perairan pantai timur Semenanjung dalam tempoh itu.

Menurutnya, kawasan di Terengganu iaitu Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman dijangka mengalami cuaca itu.

Keadaan sama turut dijangka melanda Kelantan ialah Jajahan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok, Machang dan Pasir Puteh.

"Kenaikan paras air laut turut dijangka berlaku berikutan kejadian air pasang dalam tempoh itu. Kejadian ini boleh mendatangkan risiko limpahan air laut di pesisir pantai dan muara sungai kawasan terbabit," katanya dalam kenyataan hari ini. - Bernama


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: