Wednesday, 20 November 2019

Wanita Rakan Strategik Pembangunan

SHARE
Foto oleh - Ahmad Ezani Razali
Oleh: Nooreni Abu Bakar

KEMAMAN, 20 November - Kerajaan Negeri Terengganu sentiasa melihat golongan wanita sebagai rakan strategik dalam pembangunan negara memandangkan mereka mewakili 48.5 peratus daripada penduduk Malaysia.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Alias Harun berkata, ini bermakna wanita dan muslimat adalah aset yang amat bernilai.

"Peranan wanita amat penting di pelbagai lapisan masyarakat sebagai penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan sosial dan kemakmuran negeri kita," ujarnya.


Alias yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Sayyidatina Aisyah Peringkat Zon Selatan di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman di sini hari ini.

Majlis yang dihadiri ADUN Air Putih, Ab Razak Ibrahim dan ADUN Wanita, Zuraida Mohd Nor turut melibatkan wanita di Kemaman dan Dungun.

Alias seterusnya berkata, pembelaan kaum wanita haruslah lebih bersifat holistik melibatkan wanita-wanita yang tertindas.

"Mereka yang berdepan dengan keganasan, cabaran diskriminasi di tempat kerja yang merangkumi segenap golongan seperti ibu tunggal, warga emas dan sebagainya.

Sempena majlis tersebut empat orang wanita telah dinobatkan Penerima Anugerah Tokoh Keusahawanan dan Tokoh Ilmuan Peringkat Daerah Dungun dan Kemaman.


Untuk Anugerah Tokoh Ilmuan Daerah Kemaman, Hajah Kamariah Haji Omar telah menerima pengiktirafan tersebut manakala Norliana Abdul Majid mewakili Daerah Dungun.

Untuk Anugerah Tokoh Keusahawanan, Shamsiah Salleh dari daerah Kemaman telah menerima pengiktirafan berkenaan dan untuk Daerah Dungun dinobatkan Mazila Ismail menerima anugerah itu.

"Mesej jelas yang dibawa untuk  sambutan kali ini dengan tema 'Saidatina Aisyah, Wanita Inspirasi' adalah dalam memakmur dan mensejahterakan negeri ini ke arah negeri yang serba berkat dan sempurna," jelasnya.

Justeru itu katanya, wanita haruslah bersama dan berganding bahu dalam mencapai misi wanita Terengganu yang berdaya saing, proaktif dan penuh inisiatif demi martabat dan kesepaduan sesama ummah.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: