Saturday, 16 November 2019

UMT Kekal Unggul Sebagai HICOE Negara

SHARE
Sultan Mizan Zainal Abidin (dua dari kiri) dan Sultanah Nur Zahirah (kiri) dipersembahkan maklumat mengenai projek inovasi dan teknologi maritim UMT.

KUALA NERUS, 16 November - Universiti Malaysia Terengganu (UMT) kekal unggul sebagai Pusat Kecemerlangan Institusi Tinggi (HICOE) negara dalam bidang oseanografi.

Naib Canselor universiti itu, Prof Dato' Dr Nor Aieni Haji Mokhtar berkata, peranan UMT dalam penyelidikan marin khususnya, diiktiraf secara berterusan apabila Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) masih kekal sebagai pusat tersebut.

Malah katanya, dalam konteks akademia-industri, UMT turut diiktiraf sebagai Pusat Kecemerlangan Industri (ICoE) kluster Maritim oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

Prof Dato' Dr Nor Aieni Haji Mokhtar.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Santapan Petang Sempena Majlis Konvokesyen Ke-17 UMT Tahun 2019 di TH Hotel di sini semalam.

Sultanah Nur Zahirah berkenan mencemar duli, menyempurnakan pelancaran penerbitan buku Petala 7 Sasterawan Negara dalam Majlis Santapan Petang sempena Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Ke-17.

Sultan Terengganu, Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah turut  berkenan mencemar duli ke majlis tersebut.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Abd Rahman, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Yahaya Ali dan isteri, To' Puan Zarani Othman, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Zahari Md Azahar dan Penasihat Undang-undang Negeri, Dato’ Azhar Abdul Hamid.

Prof Dato’ Dr Nor Aieni berkata, UMT juga turut diiktiraf oleh The Chartered Institute of Logistics and Transport (CILT), menerusi penubuhan Pusat Pengangkutan dan Logistik Maritim (MALTrac) yang pertama di Malaysia.

“Bagi memperkasa peranan UMT, kita sedang membangunkan Pusat Pelayaran, Pelabuhan Pengajaran (teaching port) dan Pusat Repositori Marin Kebangsaan.

“Keunggulan UMT dalam bidang aseanografi, maritim dan perikanan juga terserlah apabila kita sering menjadi rujukan syarikat-syarikat multinasional sama ada dari dalam mahupun luar negara,” jelasnya.

UMT juga katanya, aktif bekerjasama dengan institusi antarabangsa dari 14 buah negara.

Ini termasuk Gent University (Belgium), Ocean University of China (China), National Taiwan Ocean University (Taiwan), Incheon National University (Korea Selatan), Shantou University (China), Heriot-Watt University (United Kingdom).

Korean Marine Equipment Research Insitute (Korea Selatan), Australian Maritime College (Australia), Mokpo National Maritime University (Korea Selatan), Third Institute of Eceanography (China) dan Chiang Mai University (Thailand) dan lain-lain.

Pada masa yang sama kata beliau, UMT terus memperkukuhkan program pengajian antarabangsa TROPIMUNDO hasil kerjasama dengan Universiti Libre De Bruxelles (ULB).

Menurut Prof Dato’ Dr Nor Aeini, program tajaan European Commission (EC) ini telah melibatkan 85 pelajar daripada 32 buah negara termasuk Belgium, Amerika Syarikat, Kanada, Perancis, Mexico dan lain-lain.

“Selain itu, INOS turut diberikan mandat sebagai Regional Training Center (RTC) untuk program Ocean Tescher Global Acamedy (OTGA)  di bawah UNESCO dengan peruntukan RM150,000,” ujarnya.

Beliau berkata, salah satu kejayaan UMT menerusi Institut Akuakultur Tropika (AKUATROP) ialah projek pembekalan 15,000 ekor benih ketam renjong dan ketam bakau secara berkala untuk komuniti perikanan di Terengganu, Johor dan Negeri Sembilan.

“Komuniti terlibat terus mendapat bimbingan berterusan dalam aspek pengurusan, kelestarian sumber dan pemindahan ilmu serta teknologi kepada komuniti,” jelasnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: