Saturday, 23 November 2019

Ulama, Umarak Berganding Bahu Bangunkan Terengganu

SHARE
Mohd Nor Hamzah menyeru kesatuan dalam kalangan semua pendakwah.

KUALA TERENGGANU, 23 November – Gandingan ulama dan umarak menjadi tonggak utama Terengganu dalam memastikan negeri berkenaan berada pada landasan tepat dalam menunaikan tanggungjawab kepada rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah menegaskan, usaha bagi melaksanakan segala arahan Allah SWT dan kebajikan ummah tidak akan mampu dilakukan sekiranya tiada sokongan daripada tokoh-tokoh agama dan pendakwah.

Katanya, pelbagai cabaran yang dihadapi dalam melunaskan amanah sebagai pemimpin memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak.

“Dengan harapan insya-Allah, apabila memerintah Terengganu kita dapat melaksanakan segala arahan Allah ini walaupun berhadapan dengan pelbagai ujian.

“Kita mengharapkan bantuan, sokongan dan dorongan daripada golongan pendakwah sebagaimana kuatnya kerajaan di zaman Sultan Zainal Abidin yang mendapat sokongan ulama sehingga mampu menggagalkan perancangan musuh,” katanya.
Dr Zulkifli dan Ustazah Asma Harun.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Ijtimak Duat (Pendakwah) Terengganu sempena Kembara Melestarikan Itqan Al-Muluk Bita'dil as-Suluk (KALIMAT) di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam (TTI), Pulau Wan Man di sini hari ini.

Pada masa yang sama beliau berkata, tokoh agama dan pendakwah tidak seharusnya terpedaya dengan mainan musuh yang sengaja menimbulkan isu khilafiah dengan tujuan memecahkan kesatuan umat Islam.

“Pendakwah jangan mengikut rentak musuh, dengan terikut-ikut dalam isu-isu yang berkait dengan mazhab-mazhab dan perkara khilafiah.

“Jangan terpedaya dengan isu berkenaan yang akhirnya melemah dan memecahkan pendakwah untuk fokus kepada aktiviti membina masyarakat dengan asas Islam.

“Masa yang kita sepatutnya gunakan untuk berdakwah dan turun mendekati masyarakat akan dibazirkan begitu sahaja jika kita berterusan bergaduh dalam isu seumpama itu,” tambah beliau di hadapan 1,000 hadirin.
Hadirin yang hadir teruja dengan pengisian panel jemputan.
Program Ijtimak DUAT yang berakhir tengah hari tadi itu menampilkan dua tokoh agama hebat di Malaysia iaitu, Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri dan Pendakwah Selebriti, Ustazah Asma Harun.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: