Tuesday, 26 November 2019

Timbang Semula Pemilihan Acara Sukan Angkat Berat Di SUKMA XX

SHARE

KUALA TERENGGANU, 26 November - Kerajaan negeri memohon Menteri Belia dan Sukan supaya mempertimbangkan semula keputusan pemilihan acara-acara sukan Angkat Berat di Sukan Malaysia (SUKMA) yang bakal berlangsung di Johor pada Julai tahun hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata pihaknya turut mencadangkan supaya kesemua acara dipertandingkan di SUKMA XX, 2020.

Katanya, keputusan yang terbaik mampu dijelmakan akan memberikan impak positif dalam pembangunan sukan negara untuk masa-masa akan datang.

Menurutnya, susulan daripada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Teknikal mengemukakan rayuan supaya perkara ini dikaji  semula  berdasarkan beberapa justifikasi.

"Pertamanya kesemua 13 negeri yang hadir pada mesyuarat tersebut berpendirian tidak bersetuju dengan kategori acara yang dicadangkan oleh Majlis Sukan Negeri (MSN) Johor dan mohon kekalkan acara yang biasa dan sepatutnya yang dipertandingkan.

"Acara-acara yang dicadangkan tidak konsisten dan sangat pelik bagi kategori lelaki yang pertandingkan empat kategori berat badan yang rendah manakala bagi kategori wanita pula mempertandingkan empat kategori berat badan yang tinggi.

"SUKMA juga merupakan tapak pemilihan atlet mewakili negara dan kecelaruan ini akan menyebabkan pembangunan sukan ini tidak sekata yang akan jejaskan negara untuk dapatkan atlet-atlet negara yang berkualiti,"ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di sidang media selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri, Wisma Darul Iman, hari ini.

Tambahnya, antara alasan pihak sekretariat SUKMA Johor ialah pertambahan acara akan melibatkan pertambahan kos dan keputusan sebegini merupakan contoh kecelaruan yang akan memberikan kesan negatif pada masa akan datang.

Wan Sukairi berkata, tindakan menggugurkan sukan dan acara negara lawan atau menambah sukan dan acara yang kita kuat mungkin merupakan strategi yang menguntungkan negara semasa menjadi tuan rumah.

"Dan kita berjaya cemerlang walaupun dilihat kurang semangat kesukanan tetapi apabila dilakukan oleh negara lain kita akan cari pelbagai alasan untuk menjustifikasikan kegagalan kita untuk mengekalkan kejuaraan semula di negara lawan," katanya.

Terdahulu, satu surat rayuan bertarikh 28 Oktober 2020 telah dihantar kepada kementerian supaya acara-acara ini diteruskan seperti biasa.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: