Thursday, 21 November 2019

MP Marang Agih Bantuan Keperluan Harian

SHARE


MARANG, 21 November - Seramai 200 keluarga terdiri daripada golongan fakir miskin di daerah ini menerima pelbagai keperluan harian dan sejumlah wang tunai sumbangan pelbagai pihak sempena Majlis Penyampaian Sumbangan Fakir Miskin Parlimen Marang 2019, yang diadakan di Dewan Tok Guru, Rusila hari ini.

Program yang dianjurkan oleh Pusat khidmat Ahli Parlimen Marang itu memilih seramai 50 orang yang layak di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menerima bantuan tersebut.

Kehadiran  Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Abdul Hadi Awang bagi menyempurnakan penyampaian sumbangan kepada golongan memerlukan, disambut penerima dengan senyuman.

Keceriaan jelas terpancar pada wajah mereka selepas menerima bantuan seperti beras, gula dan bahan makanan lain yang sedikit sebanyak dapat meringankan beban dalam menyediakan keperluan harian untuk keluarga masing-masing.

Warga emas, Munah Jusoh, 73, yang menetap bersama anaknya di Kampung Paya Resak, berkata, dia bersyukur kerana terpilih menerima bantuan tersebut.
“Saya bersyukur kerana terpilih sebagai salah seorang penerima bantuan. Duit ini saya akan gunakan sebaik mungkin untuk membeli keperluan harian lain yang betul-betul diperlukan sahaja,’ ujarnya.
Bagi Zakaria Mamat,63,dia berterima kasih kepada semua pihak yang menyalurkan bantuan itu yang sedikit sebanyak membantu dia dan keluarga menghadapi musim tengkujuh.
“Sekarang ini, dengan keadaan hujan yang tidak menentu, nak turun ke laut pun susah. Alhamdulillah, barang keperluan harian ini boleh digunakan untuk menyediakan hidangan makanan untuk kami sekeluarga,” ujarnya yang bekerja sebagai nelayan.
Sementara itu, Mohd Salleh Awang, 55, dari Kampung Kelulut pula menyifatkan bantuan yang diterimanya itu merupakan rezeki dari Allah S.W.T.

“InsyaAllah, pemberian ini akan digunakan untuk menampung perbelanjaan keluarga,” ujarnya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: