Sunday, 24 November 2019

Terengganu Seru Syarikat Swasta Bersama Sumbang Ke Arah Pembangunan Modal Insan

SHARE


Yahaya bersama Dr. Alias Razak dan Mohd Nor Hamzah bergambar bersama pengurusan McDonald's dan sebahagian penerima pek Kembali Ke Sekolah.



KUALA NERUS, 24 November- Kerajaan negeri menyeru syarikat-syarikat swasta untuk bersama menyumbang kepada rakyat terutama dalam meningkatkan pembangunan modal insan di kalangan masyarakat.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Yahaya Ali berkata, sumbangan kepada pendidikan generasi muda selaras hasrat meningkatkan pembangunan modal insan yang diberikan perhatian oleh kerajaan negeri dalam pengumuman Belanjawan 2020 Terengganu, hari ini.

“Selain menjana ekonomi, kita fokus untuk meningkatkan pembangunan insan. Pembangunan insan itu termasuklah pendidikan dan apa yang dibuat hari ini adalah sebahagian daripada rangka pendidikan khususnya untuk memajukan anak-anak Terengganu.
Dato' Yahaya Ali.

“Apa yang dilakukan oleh McDonald’s Malaysia ini adalah satu program cakna masyarakat di mana kita harap ia menjadi contoh kepada syarikat-syarikat swasta lain,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu sidang media ketika menghadiri Program Komuniti McDonald’s 2019 peringkat negeri Terengganu di perkarangan restoran makanan segera itu di Gong Badak, hari ini.

Dalam program berkenaan, McDonald’s Malaysia telah menyampaikan sumbangan berjumlah RM594,800 bagi meringankan beban golongan kurang berkemampuan di negeri itu.

Sumbangan tersebut meliputi zakat perniagaan tahun ini sebanyak RM101,000, pembiayaan kepada pelatih Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) McDonald’s dan bantuan persekolahan kepada 1,938 kanak-kanak daripada 65 sekolah dari seluruh Terengganu.  
Yahaya dan Azmir memakaikan pakaian sekolah kepada dua penerima pek Kembali Ke Sekolah McDonald's.

Menurut Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Azmir Jaafar, para pelajar berkenaan menerima pek ‘Kembali ke Sekolah’ bernilai RM100 yang mengandungi  satu set pakaian seragam sekolah, sepasang kasut, stoking dan beg sekolah.

“McDonald’s dan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RHMC) Malaysia sememangnya fokus  memberi bantuan kepada kanak-kanak. Oleh itu, kami sering mangadakan program-program untuk kanak-kanak terutama berkonsepkan pendidikan.

“Ini kerana, apa yang kita dapati kerajaan amat memerlukan syarikat-syarikat swasta untuk membantu berjuta-juta lagi kanak-kanak yang tidak berkemampuan dalam negara untuk mendapat pendidikan lebih baik,” katanya.
Enam pelatih SLDN McDonald's yang menerima sijil, hari ini.

Tambahnya, McDonald’s juga menawarkan SLDN yang merupakan program latihan berteraskan industri sebagai salah satu program komuniti untuk belia daripada golongan kurang berkemampuan.

“Program ini menawarkan latihan selama 18 bulan menggabungkan praktikal 70 peratus di restoran kami serta 30 peratus kelas teori untuk memajukan diri mereka,” katanya.

Program tersebut turut diiktiraf Jabatan Pembangunan Kemahiran (DSD), Kementerian Sumber Manusia dengan tawaran pengajian peringkat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM)2 dan 3.

Setakat ini, terdapat 650 pelatih yang sedang menjalani SLDN McDonald’s dengan kelebihan elaun sara hidup bulanan sebanyak RM1,200, faedah perubatan dan insurans serta makanan percuma.

McDonald’s juga mengalu-alukan para belia Terengganu untuk menyertai program berkenaan dengan mendapatkan maklumat lanjut di laman sesawang syarikat tersebut.
Para tetamu turut dibawa melawat proses penyediaan di restoran McDonald's.





SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: