Monday, 11 November 2019

Terengganu Lunas Tunggakan Elaun Imam Bilal

SHARE



KUALA TERENGGANU, 11 November- Kerajaan negeri melunaskan tunggakan elaun berjumlah RM2.9 juta kepada 42  imam dan bilal masjid mukim di negeri ini  yang disekat mulai 2004 oleh pentadbiran kerajaan terdahulu akibat salah faham.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Modal Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah, berkata selepas kerajaan negeri  meneliti, membuat kajian dan melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, salah faham itu diselesaikan secara adil dan bijaksana.

Katanya, keputusannya elaun yang disekat perlu dibayar balik mengikut tempoh perkhidmatan  imam dan bilal yang dikenakan tindakan.

“Mereka yang telibat adalah imam dan bilal bertauliah  menerima elaun bulanan antara RM700 hingga RM900, tetap meneruskan tanggungjawab sepanjang tempoh sekatan iaitu  antara tempoh  2004 sehingga tahun lepas.

.“Jumlah bayaran, ada yang menerima serendah RM1, 500 dan ada yang dibayar setinggi hampir RM115,000,” katanya.


Beliau berkata demikian pada pemberita selepas Majlis Penyerahan Wang Tunggakan Imam dan Bilal Masjid Mukim Negeri Terengganu, Kompleks Seri Iman, di sini, hari ini.

Imam Masjid Kampung Kolam, Kuala Ibai, Ibrahim @ Muda Khatib Mamat @ Mohd  yang menerima tunggakan elaun RM104,250, berkata dia melahirkan rasa syukur kepada Allah S.W.T dan berterima kasih kepada kerajaan negeri di atas sikap cakna.

Katanya, inshaAllah rezeki yang diperoleh itu akan diagihkan kepada anak dan cucu-cucu, selain mengadakan kenduri kesyukuran.

“Apa yang diterima kami  hari ini, kemungkinan di atas sikap sabar dan menganggap  setiap tugasan adalah tanggungjawab selain perlu ikhlas kerana Allah,” katanya.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: