Thursday, 21 November 2019

Terengganu Komited Capai Sasaran Bina 20,000 Unit Rumah Mampu Milik

SHARE
Bergambar bersama peserta bengkel. 

Oleh: Syed Kamal

KUALA TERENGGANU, 21 November- Kerajaan negeri komited dalam usaha mencapai sasaran membina 20,000 unit Rumah Mampu Milik (RMM) sepanjang penggal pemerintahan sebagaimana yang dijanjikan dalam manifesto PAS bagi negeri Terengganu.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Ahmad Shah berkata, walaupun mempunyai kekangan dari kewangan dan tenaga, pihaknya yakin dengan bantuan dan kerjasama antara semua pihak akan membuahkan hasil yang sempurna.

Menurutnya, fokus utama projek berkenaan adalah untuk menyediakan rumah kepada mereka yang berpendapatan RM3500 dan ke bawah kerana golongan ini sememangnya perlu dibantu untuk memiliki rumah.

“Kita mengharapkan spesifikasi dan ciri-ciri RMM Negeri Terengganu pada aspek teknikalnya menepati konsep penjenamaan semula temanya iaitu ‘Rumah Selesa, Rakyat Sentosa’.
Ahmad Shah.

Kerjasama ini diharap sentiasa seiring dengan usaha kerajaan bagi merialisasikan hasrat manifesto kita dalam membina 20,000 unit rumah," katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar berkata demikian ketika ucapan perasmian Majlis Penutup Bengkel Lanjutan Reka Bentuk Spesifikasi dan Penjenamaan Semula RMM Negeri Terengganu Tahun 2019 di Dewan Puteri 3, Hotel Grand Puteri, semalam.

Justeru itu, beliau juga mengharapkan kerjasama yang baik secara berterusan daripada semua pihak yang terlibat sehingga unit-unit rumah berkenaan berjaya dibina.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: