Wednesday, 20 November 2019

Terengganu Agih Bantuan Asas Banjir Ke Setiap Daerah

SHARE

KUALA TERENGGANU, 20 November - Kerajaan negeri telah mengagihkan bantuan barangan asas di setiap daerah bagi menampung keperluan mangsa banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Haji Hanafiah Mat berkata, bekalan tersebut adalah mencukupi bagi menampung permintaan musim tengkujuh ini.

"Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah pun menghantar barang ke semua daerah dan Pangkalan Hadapan serta sebahagian yang ada di JKM daerah.

"Jadi saya rasa jika banjir datang insya-Allah tak timbul banyak masalah kerana semua peruntukan makanan sudah siap," jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai berkata demikian selepas merasmikan Program Seminar Kekeluargaan Islam 'Anak Susuan Patuh Syariah' Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2019 di Dewan Besar, Wisma Darul Iman di sini semalam.

Menurutnya, beberapa daerah telah membuat simulasi banjir untuk bersiap sedia bagi menghadapi musim itu.

"Saya yakin keperluan yang ada insya-Allah mencukupi kecuali berlaku banjir luar biasa itu perkara lain.

"Cuma kita doakan supaya tidak berlaku banjir besar. Itu yang paling penting sekali," ujar Hanafiah.

Justeru itu, beliau juga telah mengerahkan semua masjid di negeri Terengganu mengadakan solat hajat memohon agar dijauhi perkara yang tidak diingini.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: