Wednesday, 27 November 2019

TDM Catat Pertumbuhan Hasil 22 Peratus Bagi Suku Ketiga 2019

SHARE


KUALA TERENGGANU, 27 November – TDM Berhad mencatatkan pertumbuhan pendapatan sebanyak 22 peratus bagi suku ketiga 2019 yang berakhir pada 30 September.

Pengerusi TDM Berhad, Raja Dato’ Idris Raja Kamarudin berkata, pertumbuhan itu disumbangkan oleh bahagian perladangan dan penjagaan kesihatan dengan hasil sebanyak RM106.1 juta berbanding RM86.7 juta pada suku sebelumnya.

“Pada suku ketiga tahun ini, perniagaan perladangan kita mencapai hasil yang lebih tinggi iaitu sebanyak 37 peratus atau meningkat kepada RM47.7 juta, kerana faktor utama iaitu peningkatan jualan Minyak Sawit Mentah (CPO) dan Isirong (PK).

“Sementara itu, perniagaan penjagaan kesihatan kami terus menunjukkan prestasi yang lebih kukuh pada suku tersebut dengan peningkatan 12 peratus.

“Dalam hasil yang disumbang oleh pendapatan yang lebih tinggi bagi pesakit dalam dan bilangan pesakit yang lebih tinggi masing-masing sebanyak lapan dan dua peratus,” katanya dalam satu kenyataan rasmi semalam.

Bagi tempoh kajian sembilan bulan pula, beliau menjelaskan pendapatan kumpulan yang berakhir pada 30 September telah meningkat sebanyak tiga peratus kepada RM310.4 juta berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya.

Ujarnya, ia disebabkan oleh peningkatan hasil pendapatan bahagian penjagaan kesihatan sebanyak 14 peratus.

“Bahagian Perladangan mencatatkan perolehan yang menurun sebanyak lapan peratus disebabkan oleh harga CPO dan PK yang lebih rendah masing-masing sebanyak 16 peratus dan 40 peratus.

“Walau bagaimanapun, sebahagiannya diimbangi dengan jumlah jualan CPO dan PK yang lebih tinggi masing-masing sebanyak 16 peratus dan 18 peratus,” tambah beliau.




SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: