Saturday, 16 November 2019

Sultanah Nur Zahirah Berkenan Melancarkan Petala 7 Sasterawan Negara

SHARE
Sultanah Nur Zahirah (tengah)  berkenan melihat kandungan buku Petala 7 di Majlis Santapan Petang di TH Hotel.
KUALA NERUS, 16 November - Sultanah Nur Zahirah berkenan mencemar duli, menyempurnakan pelancaran penerbitan buku Petala 7 Sasterawan Negara dalam Majlis Santapan Petang sempena Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Ke-17.

Sultan Terengganu, Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah turut  berkenan mencemar duli ke majlis tersebut di TH Hotel dan Convention Centre Terengganu, Jalan Lapangan Terbang, di sini pada Jumaat.

Turut hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Dato’ Yahaya Ali dan isteri Toh Puan Zarani Othman,  Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Mohd Zahari Md Azahar serta Naib Canselor UMT, Prof Dato' Dr Nor Aieni Haji Mokhtar.
Sultan Mizan Zainal Abidin (duduk kanan) bertitah sesuatu kepada MB.
Pengarah Penerbit UMT, Profesor Dato’ Dr Noraien Mansor berkata, penerbitan buku itu adalah langkah proaktif UMT demi menyahut seruan Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malik supaya masyarakat universiti menghargai serta mendekati Sasterawan Negara.

Katanya, penerbitan itu menghimpunkan 132 puisi dengan mengetengahkan tujuh orang Sasterawan Negara termasuk Al-Marhum Datuk Dr Usman Awang, Dato’ Seri Abdul Samad Mohamed Said, Profesor Emeritus Dr Muhammad Haji Salleh, Dato’ Dr Anwar Ridhwan, Dato’ Dr Ahmad Kamal Abdullah (Kemala), Dato’ Baharuddin Zainal (Baha Zain) dan Dato’ Dr Zurinah Hassan.

“Langkah mendokumentasikan himpunan puisi ini merupakan suatu usaha di pihak UMT untuk melestarikan kelangsungan persuratan dan sastera kebangsaan.
Sultan Mizan Zainal Abidin (tengah) bertitah kepada beberapa orang Sasterawan Negara.
“Digarap dengan penuh puitis, koleksi puisi ini memberikan banyak pengajaran mengenai kehidupan, kasih sayang dan memupuk semangat patriotisme sesuai dengan status Sasterawan Negara yang menyumbang kepada pembentukan Malaysia dan intelektual rakyat,” katanya dalam satu kenyataan media sempena majlis tersebut.

Seterusnya beliau berkata, penerbitan Petala 7 Sasterawan Negara juga memberi peluang kepada golongan pembaca khususnya pelajar universiti untuk menatap, menghayati dan menikmati puisi indah Sasterawan Negara.

“Petala 7 Sasterawan Negara diterbitkan dalam dua versi cetakan termasuk buku mewah (coffee table book) dan bersaiz poket (pocket book),” jelas beliau.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: