Sunday, 17 November 2019

Suami, Isteri Sama-Sama Genggam Ijazah

SHARE
Pasangan suami isteri, Khyril Syahrizan Husain dan Nur Aliah Adam berkongsi kegembiraan apabila sama-sama menerima ijazah  pada Istiadat Pembukaan Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Ke-17


KUALA NERUS, 17 November -  Kesibukan kerja selain perlu menguruskan hal rumah tangga bukan penghalang untuk sepasang suami isteri menamatkan pengajian mereka bersama-sama dan menggenggam ijazah pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Ke-17, di sini, semalam

Khyril Syahrizan Husain, 36, dan Nur Aliah Adam, 28, antara 2,902 graduan yang menerima skrol  yang disampaikan oleh  Canselor UMT, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah yang berkenan berangkat ke istiadat itu.

Khyril Syahrizan berkata, dia dan isteri yang berkahwin sejak empat tahun lalu tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira kerana selepas melalui pelbagai cabaran akhirnya mereka berdua berjaya menggenggam ijazah berkenaan dan bersama-sama menaiki pentas konvokesyen.

Beliau  menerima Ijazah Doktor Falsafah Sains Marin, manakala isterinya menerima Ijazah Sarjana Sains Marin.

"Alhamdulillah, walaupun kami berkahwin ketika belajar, kami tidak berdepan sebarang masalah kerana mendapat sokongan kuat daripada keluarga malah mereka sangat memahami kesibukan kami berdua yang masih belajar dan dalam masa sama bekerja sebagai pembantu penyelidik.

"Terima kasih pada keluarga kami terutama ibu bapa yang datang dari Kedah dan Johor untuk meraikan konvokesyen kami pada hari ini," katanya.

Sementara itu, seorang ibu dua anak yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU) yang menerima Ijazah Doktor Falsafah Fizik turut mencuri tumpuan pada istiadat konvokesyen hari ini.

Walaupun cacat tangan kiri sejak lahir, ia tidak mematahkan semangat Dr Zakiyah Ahmad, 31, dari Kampung Chalok Barat, Setiu, untuk menggenggam kejayaan bagi membuktikan golongan OKU sepertinya juga boleh berjaya.

"Saya mahu buktikan kekurangan diri yang kudung tangan bukan halangan untuk berjaya. Malah, saya berdepan cabaran lebih berat kerana dalam masa sama perlu menguruskan dua anak berusia dua tahun dan tujuh bulan.

"Alhamdulillah, berkat sokongan suami, Mohammad Baihaqi Ahmad, 31, dan keluarga, saya mampu melaluinya. Selepas ini saya berharap dapat peluang mencapai cita-cita saya untuk menjadi pensyarah," katanya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: