Wednesday, 6 November 2019

SMK Langkap Harumkan Nama Terengganu Di Persada Negara

SHARE

Oleh : Ariss Alias

SETIU, 6 November - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Langkap berjaya mengharumkan nama Terengganu setelah meraih pingat perak dalam program Jom Minum Susu atau 'Drink, Move, Be Strong' (MyDMBS) bagi kategori sekolah menengah.

Kemenangan tersebut menyaksikan SMK Langkap membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM2,000 dalam Majlis Pengiktirafan Anugerah Sayangi Sekolahku @ 3K & MyDMBS peringkat Kebangsaan 2019 hari ini.

Pengetua SMK Langkap, Muhamad Awang Teh mengucapkan tahniah kepada semua warga sekolah dan mereka yang terlibat dalam merangkul kejayaan itu.

"Saya menyambut baik program oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia dan Dutch Lady Milk Industry (DLMI) ini di mana pelajar-pelajar didedahkan tentang aspek kesihatan, kebersihan dan keselamatan.

"Melalui program ini pelajar akan sedar terhadap pencegahan penyakit berjangkit, pengambilan makanan seimbang dan kesedaran untuk meningkatkan kekuatan fizikal dan mental," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), petang tadi.

Sementara itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap, Azmi Maarof berbangga dengan pencapaian sekolah terbabit.

"Kejayaan ini bukan saja menaikkan nama sekolah, malah berjaya menjulang nama daerah Setiu," tambah beliau.

Muhamad Awang bersama Penyelia Hal Ehwal Murid Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Setiu, Kalthom Abdullah, guru penyelaras Aqmal Hanum Ibrahim serta dua orang pelajar, Muhammad Al-Mokhzani Mohd Rafi dan Azwan Azlan mewakili sekolah menerima anugerah yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia, Teo Nie Ching di Hotel Aloft KL Sentral, Kuala Lumpur.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: