Monday, 4 November 2019

Skim Rondaan Sukarela Bantu Polis Basmi Jenayah

SHARE
SRS dimantapkan dengan beberapa pembaharuan terhadap operasi rondaan.
Oleh : Safwan Syakir

KUALA NERUS, 4 November - Skim Rondaan Sukarela (SRS) yang telah diwujudkan melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (Jabatan Perdana Menteri) dengan kerjasama kerajaan negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) diyakini mampu membasmi jenayah dalam kalangan masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, pihaknya sentiasa memberikan sokongan padu terhadap setiap program yang mampu mengurangkan masalah jenayah di Terengganu.

“Suasana yang aman ini akan membolehkan masyarakat menjalankan aktiviti harian mereka dengan selamat dan selesa.

“Malah kerajaan akan dapat menjalankan fungsinya dengan baik dan menyasarkan ke arah membangunkan negeri ini daripada segala sudut termasuk sosial, pendidikan dan ekonomi,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Ronda Cegah Jenayah Bersama PDRM Kontinjen Terengganu di Dewan Sivik Bukit Tunggal di sini kelmarin.

Dr Alias Razak.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti PDRM, Dato’ Sri Rosli Ab Rahman dan Ketua Polis Terengganu, Dato’ Aidi Ismail.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit tunggal berharap agar masyarakat sentiasa mengadakan kerjasama dengan PDRM bagi membanteras jenayah sesuai dengan slogan PDRM ‘Polis Dan Masyarakat Berpisah Tiada’.

Dalam program berkenaan, konvoi pasukan pencegahan telah dilakukan ke tapak SRS Bukit Tunggal, SRS Taman Perumahan Gong Badak Lama, SRS Teluk Ketapang dan berakhir di Muara Utara Seberang Takir berhampiran jambatan angkat.

Menurut Dr Alias, konvoi serta lawatan di tapak SRS tersebut adalah sebagai sokongan moral kepada petugas-petugas SRS yang sentiasa memastikan kawasan didiami bebas daripada perlakuan jenayah.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: