Tuesday, 26 November 2019

Sidang DUN : Tujuh Strategi Digarap Bangunkan Ekonomi Terengganu

SHARE
Tengku Hassab Tengku Omar.
KUALA TERENGGANU, 26 November – Tujuh strategi utama akan dilaksanakan kerajaan negeri bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi sejajar dengan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS 2030).

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar memaklumkan, pengukuhkan terhadap beberapa industri seperti agrikultur menjadi keutamaan pihaknya.

Katanya, pengembangan bidang agroternak serta memperkayakan sektor akuakultur menjadi agenda kedua dan ketiga kerajaan bagi meningkatkan pendapatan rakyat.

“Langkah keempat, kita akan menggalakkan pelaburan dan memantapkan perdagangan seterusnya sektor pelancongan serta kebudayaan yang ada di Terengganu bakal diperkasakan.

“Di samping itu, kita juga akan menyediakan latihan keusahawanan dan kemahiran perniagaan serta membangunkan negeri sejajar dengan revolusi perindustrian 4.0,” ujarnya.
Ahmad Razif Abdul Rahman.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Dato’ Seri Ahmad Razif Abdul Rahman pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu Keempat Belas (Bajet 2020) di Wisma Darul Iman, hari ini.

Mengulas tentang kekayaan sumber semulajadi seperti silika, gas dan bauksit di Terengganu, pihaknya telah mengambil beberapa langkah termasuk mengadakan perbincangn dengan beberapa pelabur luar untuk memanfaatkan kan lagi hasil bumi itu.

“Terdapat juga syarikat yang berminat untuk melabur di Bio-Polymer Park, Kerteh dalam bidang campuran hiliran petroleum dan ‘waste’ yang menghasilkan kayu berkualiti tinggi.

“Kawasan di Paka turut menjadi rebutan beberapa syarikat luar untuk melabur di situ selain Hab Petroleum Pulau Kerengga yang menarik minat pelabur China, Dubai dan Rusia,” tambah beliau.

Katanya, pada tahun lalu, industri perlombongan bauksit telah menyumbang sebanyak RM126,117 buat negeri itu.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: