Sunday, 24 November 2019

Sidang DUN : Terengganu Sedia Pertahan Kejuaraan SUKMA

SHARE
Wan Sukairi.

Oleh : Adli Mohamad

KUALA TERENGGANU, 24 November - Terengganu bersedia untuk mempertahankan kejuaraan Sukan Malaysia (SUKMA) 2020 yang akan berlangsung di Johor pada tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, segala strategi dan perancangan telah dilaksanakan termasuk merangka pelan organisasi yang melibatkan seramai 100 orang pakar jurulatih dan pegawai-pegawai daripada 24 jenis sukan dipertandingkan.


“Ia diselia oleh seorang pakar daripada UITM bagi menyediakan satu program latihan berstruktur yang melibatkan semua komponen latihan di antaranya berkenaan latihan fizikal, latihan kemahiran dan pendedahan pertandingan.

“Kita juga telah menggabungkan antara strategi-strategi lama yang telah pun terbukti keberkesanannya sewaktu awal kita muncul juara keseluruhan (SUKMA 2018).

“Strategi-strategi yang baharu dan lama akan digabung untuk memberikan impak yang lebih tinggi bagi persiapan SUKMA 2020 yang kita jangkakan lebih mencabar berbanding 2018,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu Keempat Belas (Bajet 2020) di Wisma Darul Iman, hari ini.

Menurut beliau, Terengganu juga telah melancarkan ‘tag line’ baharu pada 9 April lalu bagi meningkatkan lagi semangat para atlet iaitu ‘2020 Victory Mission’.

“Kita percaya enam kunci utama bagi mengekalkan kejuaraan ialah pemilihan atlet yang tepat, komitmen dan penjagaan program latihan.

Selain komponen latihan yang berkesan, ujian dan penilaian-penilaian yang berterusan serta sistem dan pelaksaan penetapan yang berkesan,” tambah beliau.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: