![]() |
Satiful Bahari Mamat |
KUALA TERENGGANU,
25 November - Kerajaan Terengganu sedang merangka beberapa strategi terbaik
termasuk mengadakan kempen untuk mendidik dan mempromosikan gaya
hidup bersyariat dalam kalangan masyarakat negeri itu pada tahun depan.
Pengerusi
Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri,
Satiful Bahari Mamat berkata, usaha tersebut dilaksanakan supaya setiap
anggota masyarakat sedar akan kepentingan melaksanakan syariah terhadap
peribadi, keluarga dan negeri.
Katanya, strategi berkenaan juga adalah sebagai langkah permulaan sebelum pihaknya melaksanakan undang-undang syariah dan garis panduan untuk setiap aktiviti hiburan.
“Ia akan
dijalankan di semua peringkat dan kita juga akan membuat pendedahan tentang
peraturan undang-undang yang boleh dikuatkuasakan dalam masyarakat kita hari
ini.
“Kerajaan turut
melancarkan pertubuhan sukarelawan syariah yang insya-Allah juga mengambil
pendekatan melakukan Amar Makruf dan nahi mungkar dalam kalangan masyarakat,”
ujarnya.
Beliau berkata
demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit
Besi, Roslee Daud pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri
Terengganu Keempat Belas (Bajet 2020) di Wisma Darul Iman, hari ini.
Mengulas lanjut,
beliau menegaskan kempen berkenaan akan dilakukan melalui beberapa medium
antaranya edaran poster dan pemasangan info berkaitan syariah di papan iklan.
“Kita akan
bekerjasama dengan jabatan pelancongan dan pihak berkuasa tempatan untuk menggerakkan usaha ini, contohnya
pemasangan iklan di 'billboard',” jelasnya.
Sejajar dengan
itu, beliau yakin usaha berkenaan tidak akan mengganggu kehadiran pelancong
sama ada dari dalam ataupun luar ke negeri apabila undang-undang syariah dan garis panduan hiburan dilaksanakan sepenuhnya nanti.
“Melalui
pendekatan secara hikmah ini insya-Allah kedatangan pelancong tidak akan
berkurangan kerana terpengaruh dengan dakwaan orang luar yang mengatakan
Terengganu negeri taliban.
“Kita juga sedar
kehadiran mereka ke sini adalah untuk melihat persekitaran, kecantikan dan budaya
yang ada di negeri kita,” ujarnya.
0 komen: