Tuesday, 26 November 2019

Sidang DUN : Terengganu Lulus RM245,000 Untuk Usahawan ‘Online’

SHARE
Nurkhuzaini Ab Rahman.

KUALA TERENGGANU, 26 November – Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) telah meluluskan RM245,000 kepada usahawan ‘online’ Terengganu atau Skim Pinjaman Atas Talian (SPINT) sepanjang tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, prestasi semasa yang ditunjukkan oleh penerima skim berkenaan adalah sangat membanggakan.

“Sekitar 50 peratus daripada usahawan kita telah mendapat manfaat dan telah meningkatkan jualan mereka berbanding daripada sebelumnya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim pada Mesyuarat Ketiga Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Ridzuan Hashim.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan, beberapa syarat telah ditetapkan kepada pemohon skim pembiayaan itu supaya ia bergerak selari dengan hasrat YPU.

“Antara syarat permohonan ialah mesti menjalankan perniagaan atas talian secara sepenuh masa dan menguruskannya sendiri, beroperasi di Terengganu dan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Keutamaan kita berikan kepada usahawan yang pernah mengikuti kursus YPU dan akan dipantau untuk memastikan perniagaan mereka berkembang baik,” tambah beliau.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: