Tuesday, 26 November 2019

Sidang DUN : Terengganu Giat Promosi Keunikan Taman Eko Rimba Negeri

SHARE
Ariffin Deraman.
KUALA TERENGGANU, 26 November - Kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri telah menjenamakan enam hutan rekreasi kepada Taman Eko Rimba (TER) sebagai usaha meningkatkan jumlah pelancong ke negeri Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, penjenamaan semula itu secara tidak langsung mempromosikan hutan rekreasi dan kawasan alam semula jadi yang menari lebih pengunjung dan penduduk setempat.

"Taman Eko Rimba antara lainnya melahirkan kesedaran keaslian alam semulajadi dengan penyediaan kemudahan beristirehat seperti tempat berkelah dan kawasan tinjau yang indah kepada orang ramai.

"Pemuliharaannya turut memberi peluang dan dorongan kepada pengunjung menjelajah kawasan hutan dengan penyediaan denai dan aktiviti yang ada selain menambah kawasan penyelidikan sedia ada," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun dan ADUN Ajil, Maliaman Kassim pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), semalam.

Ariffin turut memaklumkan, buat masa ini hanya   enam daripada 12 TER dibuka kepada umum atas faktor-faktor keselamatan berikutan musim tengkujuh ini.

"Keenam-enam lokasi TER yang dibuka ialah di Sekayu, Lata Tembakah, Lata Belatan, Chemerong, Rimba Bandar Bukit Bauk dan Rimba Air Menderu," katanya.

Beliau juga menambah, kerajaan negeri bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) telah mengadakan kursus kepada malim-malim gunung bagi memastikan pelancong diberikan pendidikan yang lengkap mengenai kepentingan menjaga hidupan liar flora fauna.

"Setakat ini, seramai 46 malim gunung serang mengikuti kursus dan akan menerima tauliah.

"Mereka ini kemudiannya akan diiktiraf sebagai pemandu pelancong berkemahiran alam semula jadi yang akan memperkenalkan keindahan Terengganu kepada pengunjung," katanya.





SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: