Monday, 25 November 2019

Sidang DUN : Tabung Darul Iman Hulur RM5.3 Juta, Bantu 5,029 Pesakit

SHARE

KUALA TERENGGANU, 25 November- Kerajaan negeri merekodkan sebanyak RM5.3 juta dibelanjakan melalui Tabung Darul Iman bagi membantu 5,029 penduduk  Terengganu yang menghidap pelbagai  penyakit kronik dan ditimpa musibah sepanjang tempoh sepuluh  bulan tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat  berkata berdasarkan jumlah itu, kira-kira RM2.34 juta disalurkan kepada 3,777 pemohon  bagi bantuan sara diri tahunan dan RM1.3 juta untuk  bantuan musibah  kepada 139 pemohon.

Manakala bantuan perubatan sebanyak  RM791,000 diperuntuk untuk  379 pesakit dan RM941,000 dikhaskan untuk 734  pesakit terlantar yang memerlukan susu khas dan lampin pakai buang.

 “Jumlah perbelanjaan dijangka meningkat pada setiap tahun kerana mereka yang ditimpa musibah dan menghidap penyakit kronik tidak pernah berkurangan.

"Sehingga hari ini, hampir 10 ,000 penduduk telah menerima manfaat hasil sumbangan  tabung itu”katanya.

Hanafiah turut memberitahu, kerajaan negeri berusaha pelbagai cara bagi mengumpul dana untuk tabung itu, termasuk memotong pendapatan penjawat awam pada setiap bulan, selain menempatkan tabun-tabung  di kawasan tumpuan.

“Namun usaha itu  masih tidak mencukupi  dan memadai kerana Tabung Darul Iman sangat memerlukan sumber kewangan bagi membantu lebih ramai mereka yang kurang bernasib baik.

“Oleh itu,saya mengajak orang ramai, khususnya GLC,  mereka yang berkemampuan bersama-sama menghulurkan sumbangan sama ada melalui talian atau secara terus,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)  Air Putih, Ab.Razak Ibrahim pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu Keempat Belas (Bajet 2020) di Wisma Darul Iman, hari ini.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: