Tuesday, 26 November 2019

Sidang DUN : RM80 Juta Untuk Pinjaman Pelajaran Hingga 2019

SHARE
MB bersiap untuk hadir Sidang DUN Terengganu.
KUALA TERENGGANU, 26 November - Kerajaan Terengganu telah mengeluarkan biasiswa atau pinjaman kepada 1,629 pelajar anak Terengganu, sebanyak RM80.02 juta sejak tahun 2015 hingga 2019.

Menteri Besar,  Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ini termasuk biasiswa atau pinjaman kepada pelajar dalam bidang lain dari agama sebanyak RM75.72 juta.

“Sementara biasiswa atau pinjaman kepada pelajar dalam bidang agama adalah sebanyak RM4.30 juta,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Ahmad Shah Muhamed di Mesyuarat Ketiga Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Dalam soalannya, ADUN itu ingin tahu nilai biasiswa dan pinjaman yang telah diberikan oleh kerajaan kepada pelajar-pelajar anak Terengganu dalam bidang agama (Syariah) berbanding bidang lain pada tahun 2015 hingga 2019.

Dr Ahmad Samsuri berkata, dari jumlah biasiswa atau pinjaman untuk pelajar bukan agama luar negara, sejumlah RM63.66 juta dikeluarkan termasuk RM23.61 juta pada tahun 2015, RM15.08 juta (2016), RM9.22 juta (2019), RM9.08 juta (2017) dan RM6.67 juta (2018).

Manakala biasiswa atau pinjaman pelajar dalam negara, sejumlah RM12.07 juta dikeluarkan termasuk RM3.33 juta pada tahun 2019, RM3.21 juta (2015), RM2.19 juta (2016), RM1.80 juta (2017) dan RM1.54 juta (2018).

Sementara itu katanya, dari sejumlah RM40.30 juta untuk pelajar bidang agama, sebanyak RM3.29 juta diperuntukkan untuk pelajar dalam negara termasuk RM970,500 pada tahun 2019, RM901,000 (2016), RM625,800 (2018), RM592,800 (2017) dan RM195,300 (2015).

“Manakala peruntukan untuk luar negara pula ialah RM1.01 juta termasuk RM756,000 (2015) dan RM255,000 (2019),” ujarnya.

Menurut ADUN Rhu Rendang itu bagi pinjaman atau biasiswa pelajar dalam bidang bukan agama sejumlah 1,433 orang pelajar dapat manfaat termasuk 1,039 orang pelajar dalam negara manakala 394 orang lagi untuk pelajar luar negara.

Manakala biasiswa atau pinjaman pelajaran bagi pelajar bidang agama pula seramai 196 orang dapat manfaat termasuk 184 orang dalam negara dan 12 orang pelajar luar negara.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: