Monday, 25 November 2019

Sidang DUN : RM403.48 Juta Hutang Wajib Dibayar Oleh Kerajaan Negeri

SHARE

KUALA TERENGGANU, 25 November - Kerajaan negeri perlu membayar sejumlah RM403.48 juta hutang daripada pelaksanaan enam projek kerajaan yang lalu kepada Kerajaan Persekutuan.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr  Mamad Puteh berkata, antaranya adalah dua projek bayaran tertangguh dan empat projek bayaran berjadual.

“Sebenarnya kita ada enam projek keseluruhan. Pertama bayaran tertangguh kita ada dua  projek iaitu  membina sistem Bekalan Air Kuala Terengganu Utara. Projek ini berjumlah RM1350 juta dan projek kedua membaik pulih Loji Rawatan Air Bukit Besar Kemaman  berjumlah RM686 juta.

"Empat projek bayaran berjadual iaitu Pembangunan Pusat Pentadbiran Daerah Kuala Nerus sebanyak RM600 juta , Pembangunan Muara Sungai  Terengganu (RM90 juta) , pembinaan Asrama Atlet Majlis Sukan Negeri Terengganu (RM95.50 juta), pembangunan di Bandar Baru Kijal berjumlah RM189 juta,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang berkata demikian ketika menjawab soalan lisan dalam Sidang DUN pada semalam.

Menurutnya, kerajaan negeri terpaksa membayar wang yang dipinjam oleh pemerintahan yang terdahulu untuk sesuatu projek.

“Kita rasa dengan hutang  yang besar ni  memanglah menjadi satu beban yang besar kepada  kerajaan negeri kerana  kita jangka tahun hadapan  pendapatan kita dalam RM1.6 bilion  sahaja.

“Hutang sahaja RM400 juta bermakna 25 peratus  daripada pendapatan kita kena bayar hutang yang wajib kita bayar. Ini lah yang menjadi permasalahan  kepada kita  dan keseluruhan rakyat negeri Terengganu,” jelasnya.

Dr Mamad menambah, hutang tersebut telah dibuat semasa pemerintahan  Barisan Nasional (BN) sebelum diambil oleh kerajaan PAS.

“Masa kita memerintah pada tahun 1999 sehingga 2004 waktu itu tiada bentuk  macam ini, pinjam dulu sebagaimana  hari ini .

“Jadi masa kita memerintah dulu tidak ada hutang  dengan bank atau kontraktor sehinggalah benda  ini berlaku pada tahun 2015, 2016 dan 2017.

“Saya dapat maklumat bandar baru Kuala Berang pun nak dipinjam wang  untuk nak bina berkaitan dengan pejabat pentadbiran baru, dewan baru dan masjid baru,” tegasnya.

Beliau menambah, walaupun ia melibatkan kepentingan rakyat namun tabiat sukan berhutang menyebab kerajaan dan rakyat terpaksa menanggung kesannya.

“Kita rasa  walaupun kita ada kepentingan untuk rakyat  tetapi  tabiat meminjam secara besaran  tidak  mampu kita nak bayar. Inilah  boleh merosakkan kita dan rakyat,” katanya.

Malangnya, kata beliau, kemajuan  semua projek tersebut sehingga kini tidak mencapai tahap yang sepatutnya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: