Wednesday, 27 November 2019

Sidang DUN: Pusat Penternakan Rusa Masih Dalam Peringkat Kajian

SHARE

KUALA TERENGGANU, 27 November- Cadangan kerajaan negeri untuk mewujudkan pusat penternakan rusa di pusat penternakan haiwan, Kampung Pak Kancil, Setiu, masih dalam peringkat kajian terutamanya dari segi kos dan model perniagaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, hasil daripada kajian yang dibuat didapati projek tersebut memberikan manfaat yang boleh dinikmati oleh rakyat khususnya masyarakat penternak.

“Projek ini mampu merakyatkan penternakan rusa dan kita buka peluang untuk penternak menceburinya secara komersial dan secara tidak langsung pusatnya boleh menjadi satu daripada sumber untuk agihan baka rusa kepada penternak.

“Selain, berpotensi sebagai ikon untuk agro pelancongan yang mana Terengganu boleh menuju ke arah satu sasaran sebagai pembekal daging rusa segar dan juga sebagai destinasi ‘food tourism’, ujarnya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Maliaman Kassim (PAS- Ajil) mengenai status terkini cadangan kerajaan negeri untuk mewujudkan pusat penternakan tersebut dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu Keempat Belas (Bajet 2020) di Wisma Darul Iman, hari ini.

Dr. Azman berkata, pihaknya mempunyai kekuatan untuk melaksanakan projek tersebut berikutan mempunyai pakar dan pegawai rujukan yang telah sedia dibangunkan di Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan boleh mencontohi amalan penternakan baik untuk penternakan rusa yang terdapat di daerah Lenggong, Perak.

“Rusa ini sejenis haiwan yang lasak, tahan penyakit dan jimat makanan kerana makanan yang dimakan oleh 10 ekor rusa menyamai makanan yang dimakan oleh seekor lembu.

“Seekor rusa boleh menghasilkan pelbagai produk. Disamping daging, kulit dan ekor, di antara produk yang bernilai tinggi ialah tanduk lembut yang sangat bernilai dalam dunia perubatan Cina selain tanduk untuk hiasan,” ujarnya.

Katanya, untuk tahun 2020 kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM1.4 juta bagi pembangunan projek rusa dan tiga lokasi berpotesi telah dikenalpasti.

“Ia adalah pusat ternakan haiwan di Chalok Setiu, Ladang Informasi Veterinar, Bari dan Pusat Latihan Veterinar, Cermin Kiri di Dungun dengan salah satu daripada tiga pusat ini akan dijadikan ladang ternakan rusa,” ujarnya.




SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: