Monday, 25 November 2019

Sidang DUN : PMINT Keluarkan 181 Notis Terhadap Penyewa RMM Ingkar Syarat Perjanjian

SHARE


KUALA TERENGGANU, 25 November- Kerajaan negeri melalui Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) telah mengeluarkan notis menarik balik atau menamatkan sewaan terhadap 181 penyewa Rumah Mampu Milik (RMM) di seluruh negeri ini sehingga 31 Oktober lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, tindakan tersebut diambil berikutan terdapat dikalangan mereka yang menyalahgunakan pemberian subsidi oleh kerajaan negeri itu.

“Mereka telah melanggar syarat perjanjian, antara kesalahan yang dilakukan termasuk tidak membayar sewa, tidak menduduki rumah yang telah diberi sewa dan ada yang menyewakan rumah itu kepada penyewa yang lain,” ujarnya.


Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Muhammad Pehimi Yusof (BN- Jerteh) mengenai bilangan penerima RMM yang diberi notis untuk tujuan ditarik hak mereka di seluruh negeri Terengganu pada tahun 2018 dan 2019 dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu Keempat Belas (Bajet 2020) di Wisma Darul Iman, hari ini.

Menurut Dr. Alias, dalam tempoh 30 hari dari hari notis dikeluarkan, penyewa boleh membuat rayuan dan sekiranya pihak PMINT tidak menerima apa-apa rayuan daripada mereka dalam tempoh tersebut, notis 14 hari untuk penyerahan kunci akan dikenakan.

Setakat ini, jumlah penyewa ingkar yang telah menyerah kunci kerana menyedari mereka telah melanggar syarat seramai 28 orang sahaja, kebanyakannya yang menyewakan kepada orang lain. Dan yang lain-lain masih dalam penelitian kita.

“Antara alasan-alasan yang diberikan ialah perlu menjaga ibu bapa sakit, ada yang kena tukar tempat kerja jauh. Mereka-mereka ini masih lagi dalam proses kita buat kajian teliti sebelum sebarang keputusan diambil tetapi yang menyewakan rumah kepada orang lain memang tidak dapat dimaafkan,” ujarnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: