Monday, 25 November 2019

Sidang DUN : Latihan Teknologi Tinggi Hadapi IR4.0

SHARE



MB dan isteri menuju ke DUN Terengganu untuk pembentangan Bajet 2020.
KUALA TERENGGANU, 25 November – Kerajaan Negeri berusaha menyediakan tenaga kerja dengan mengadakan latihan dalam bidang berteknologi tinggi dan atas talian.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bagi menyediakan tenaga kerja berhadapan dengan cabaran persaingan kerja dan perubahan teknologi yang pantas, pendekatan yang digunakan adalah dengan mengadakan latihan dalam bidang berteknologi tinggi dan atas talian.

Katanya, telah melaksanakan Program TSEP-S (Terengganu Skill Enhancement Program) dalam bidang telekominukasi fiber optics melibatkan seramai 39 orang pelatih, dengan perbelanjaan sebanyak RM585,000.

“Seramai 32 orang (82 peratus) pelatih telah ditempatkan di industri. Dalam program persijilan ini kita juga telah memperkenalkan modul berkaitan Internet of Thing (IOT) bagi memastikan pelatih bersedia menghadapi perkembangan baru Revolusi Industri 4.0 (IR4.0),” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-14 (Bajet) di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Dr Ahmad Samsuri berkata, kerajaan merancang untuk mengadakan program latihan berkaitan industri keretapi bagi menyediakan tenaga tempatan dalam bidang ini.

Katanya, kerajaan telah melaksanakan sebanyak 27 program dan kursus berkaitan perniagaan digital dan IR4.0 kepada 990 orang usahawan.

“Kerajaan meneruskan Skim Pembiayaan Atas Talian (SPINT), bermula tahun 2016 sehingga sekarang. Seramai 31 orang usahawan atas talian telah menerima pembiayaan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM245,000,” jelas beliau.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: