Wednesday, 27 November 2019

Sidang DUN : Kursus Bantu Guru SRIDI Dan SMIDI Tingkat Mutu Pengajaran

SHARE


KUALA TERENGGANU, 27 November- Unit Pengurusan Akademik, Bahagian Jabatan Pendidikan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) melaksanakan beberapa kursus untuk meningkatkan tahap penguasaan kurikulum semua guru Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) dan Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI) negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, bagi merealisasikan hasrat kerajaan dalam melaksanakan pendidikan yang lebih efisien dan juga teratur, penyeliaan pengurusan akademik secara berkala juga akan dijalankan terhadap guru-guru ini.

“Pihak jabatan  akan memantau bagi meneruskan kursus-kursus ataupun yang perlu bagi kesinambungan untuk meningkatkan mutu pengajaran mereka dari semasa ke semasa.

“Kita memilih guru-guru terbaik dan contohnya, kita nak guna 70 orang guru pada awal tahun depan ini dan yang memohon hampir 2,000 tetapi hanya betul-betul layak sahaja dipilih.

“Kebanyakannya mempunyai ijazah dan ada yang mempunyai diploma pendidikan dan sebagainya dan ini akan memudahkan mereka untuk mengadaptasi kurikulum baru pendidikan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Ir Saiful Azmi Suhaili (PAS-Kemasik) mengenai pendekatan diambil kerajaan untuk memastikan guru-guru SRIDI dan  SMIDI dapat mengadaptasi kurikulum baru pendidikan dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu Keempat Belas (Bajet 2020) di Wisma Darul Iman, hari ini.

Sementara itu katanya, antara pengisian kursus induksi untuk guru-guru baru SRIDI, SMIDI, madrasah moden, maahad tahfiz ianya lebih fokus kepada pedagogi dan kokurikulum.

“Kita juga mengadakan bengkel penyediaan Rancangan Pengajaran Tahun dan kokurikulum KSSR untuk Tahun 1.

“Juga bengkel penyediaan rancangan pengajaran bagi kurikulum diniyah dan termasuk juga penyediaan modul mursyid muallim panduan guru dalam sukatan matapelajaran diniyah bagi Tahun 1 dan Tahun 2.

“Serta mengadakan kursus peningkatan profesionalisme keguruan (KAFA), Sekolah Agama Negeri (SMAM) Tahfiz Pondok, kursus bimbingan guru bagi penyerapan ilmu PKJR dalam PDP bangsa Melayu bagi Sekolah Rendah Agama di bawah seliaan JHEAT dalam menggunakan kurikulum kebangsaan, bengkel dan lain-lain,” ujarnya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: