Monday, 25 November 2019

Sidang DUN : Kerajaan Terengganu Bercadang Membesar Pelabuhan Kemaman

SHARE
MB (tengah) menuju ke Dewan Undangan Negeri Terengganu untuk pembentangan Bajet 2020.
KUALA TERENGGANU, 25 November – Kerajaan negeri bercadang untuk memperbesar Pelabuhan Kemaman bagi menambahkan aktiviti pelabuhan.

Menteri Besar Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Eastern Pacific Industrial Corp. Berhad (EPIC) melalui anak syarikatnya, Konsortium Pelabuhan Kemaman Sdn Bhd (KPK), merupakan pemegang konsesi Perjanjian Penswastaan pelabuhan itu bagi tujuan tersebut.

Katanya, perancangan telah bermula pada pertengahan tahun 2017 dan taklimat pertama kepada Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Pengangkutan dan Lembaga Pelabuhan Kemaman telah diadakan pada Februari 2018.

“Selepas pada itu beberapa siri mesyuarat telah diadakan dengan Kementerian Pengangkutan dan Lembaga Pelabuhan Kemaman.

“Pihak EPIC atau KPK telah diminta untuk menyediakan satu kertas kerja berkenaan dengan “Port Perfomance Indicator” (PPI) bagi menunjukkan keperluan operasi pelabuhan, kecekapan pengendalian , unjuran kargo dan lain-kain perkara yang berkaitan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik Ir Saiful Azmi Suhaili dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-14 (Bajet) di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

ADUN itu dalam soalannya ingin tahu sama ada Kerajaan Negeri merancang dan memperkembangkan aktiviti di Pelabuhan Kemaman dan indikatif ‘Milestone’ pembangunannya.

Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri yang juga ADUN Rhu Rendang berkata, taklimat akhir berkenaan dengan hasil kertas kerja ini telah dimaklumkan kepada Kementerian Pengangkutan dan Lembaga Pelabuhan Kemaman pada 17 Oktober lalu.

“Pada masa yang sama pihak EPIC telah mengadakan taklimat kepada East Coast Economic Region Development Counsil (ECERDC) pada 27 September lalu berkenaan dengan cadangan Pembesaran Pelabuhan Kemaman.

“Semua keperluan infrastruktur dan anggaran kos yang terlibat telah diberikan di dalam taklimat ini,” ujarnya lagi.

Menurutnya ‘Milestone’ pembangunan Pelabuhan Kemaman hanya akan dapat dilaksanakan selepas semua kelulusan telah diperolehi.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: