Monday, 25 November 2019

Sidang DUN : Kerajaan Tawar Insentif Menarik Kepada Pelabur

SHARE
MB tiba untuk sertai sidang DUN Terengganu semalam.

KUALA TERENGGANU, 25 November – Kerajaan negeri menawarkan insentif-insentif pelaburan yang menarik bagi mengurangkan kos pelaburan para pelabur.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ini termasuk diskaun ke atas premium tanah antara 10 hingga 50 peratus kepada pelabur yang layak.

Mereka juga katanya, boleh membuat pembayaran premium tanah secara ansuran selama setahun.

“Mereka juga boleh mendapatkan rebat sehingga 30 peratus ke atas premium tanah kepada pelabur yang melaksanakan projek dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Persidangan Yang Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Dalam soalannya ADUN itu ingin tahu inisiatif dan polisi kerajaan dalam usaha menarik pelabur untuk memilih Negeri Terengganu sebagai destinasi pilihan pelaburan.

Dr Ahmad Samsuri berkata, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) juga menawarkan inisiatif dan polisinya tersendiri termasuk mengadakan rundingan langsung dan kerjasama agensi-agensi yang relevan di kedua-dua peringkat Persekutuan dan Negeri bagi memperolehi kemudahan-kemudahan infrastruktur termasuk tanah, tapak kilang, bekalan-bekalan elektrik dan air, telekomunikasi dan lain-lain.

“Ini termasuk menyegerakan kelulusan berkaitan Pelan Bangunan, Perakuan Kelayakan dan Lesen-lesen Perniagaan,” jelasnya.

ADUN Rhu Rendang itu berkata MIDA juga turut memimpin dan membantu para pelabur mendapatkan kelulusan-kelulusan yang diperlukan bagi projek-projek mereka sehingga beroperasi.

Katanya, MIDA juga memberi sokongan kepada syarikat-syarikat sedia ada merancang pembesaran, kepelbagaian dan lain-lain pelaburan semula projek-projek mereka.

Lembaga itu juga menjadi sebagai pemudah cara lawatan-lawatan dan penyiasat tapak serta infrastruktur rantaian.

“Insentif utama untuk pelaburan umum daripada MIDA (sektor perkilangan dan perkhidmatan) termasuk Galakan Taraf Perintis (PS) iaitu pengecualian cukai sebanyak 70 hingga 100 peratus pendapatan berkanun selama lima hingga 10 tahun.

“Termasuk juga Elaun Cukai Pelaburan (ITA) iaitu elaun sebanyak 60 hingga 100 peratus ke atas perbelanjaan modal layak (kilang, loji, jentera atau kelengkapan lain yang digunakan untuk projek kelulusan) yang dilakukan dalam tempoh lima hingga 10 tahun dari tarikh pertama perbelanjaan modal layak dilakukan,” jelasnya lagi.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: