Monday, 25 November 2019

Sidang DUN : Drawbridge Tidak Jejas Ekosistem dan Akuatik

SHARE

KUALA TERENGGANU, 25 November - Pembinaan Jambatan Angkat atau dipanggil drawbridge tidak menjejaskan ekosistem dan hidupan akuatik di sekitar kawasan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan, dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, kualiti air juga tidak berubah di tempat itu.

"Berdasarkan rekod pengawasan alam sekitar yang dikemukakan, setiap tiga bulan sekali kita buat nilaian dan dapati kualiti air di sekitar tapak drawbridge tidak berubah jika dibandingkan  data asas sebelum dan sekarang.

"Iaitu masih lagi dalam kategori atau kelas yang kedua. Cuma kita tidak boleh minum terus dan perlu di rawatan dulu," ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal berkata demikian ketika menjawab soalan lisan ADUN Wanita Zuraida Mohd Noor dalam Sidang DUN pada hari ini.

Oleh itu, menurutnya, setakat ini pembinaan jambatan tersebut tidak menjejaskan kehidupan yang berada di laut.

Beliau menambah, pembangunan jambatan tersebut tidak memberi kesan mendapan yang begitu serius kerana tiang tengah yang dipanggil penutup celucuk tidak menghalang aliran air sungai.

"Memang ada kesan melambatkan aliran daripada hulu ke hilir. Maka akan berlaku sedikit mendapan di sebelah hulu tapi bila air keluar dengan laju  mendapan  di bahagian hilir tidak berlaku.

"Jadi setakat ini  belum ada laporan untuk kita mendalami  muara sungai cuma menjadi masalah kita  jarak agak  sempit menyebabkan kapal besar  tidak  boleh masuk," jelasnya.

Justeru itu, pihak Alam sekitar telah membuat kajian dan mencadangkan untuk mendalamkan kawasan tersebut dua kali setahun.






SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: