KUALA TERENGGANU, 26 November – Ahli Dewan Undangan Negeri
(ADUN) Wanita menegur berkenaan program
tidak patuh syariah dikalangan kaum hawa masih wujud walaupun sudah ada garis panduan yang
dikeluarkan oleh kerajaan negeri.
Zuraida Mohd Noor berkata, aktiviti yang melibatkan golongan
wanita tidak wajar dipertontonkan di khalayak ramai.
“Saya ingin mengambil perhatian ahli dewan sekalian kerana
masih lagi wujud program-program yang tidak patuh syariah diadakan. Contohnya
program senamrobik yang melibatkan wanita dijalankan secara terbuka di tempat
awam.
“Walaupun telah ada lima garis panduan yang telah
dikeluarkan oleh pihak Kerajaan Negeri, namun di sana masih ada kelonggaran
dari sudut perlaksanaan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap membahaskan bajet 2020 dalam sidang DUN di Wisma Darul Iman, di sini, semalam.
Menurutnya, dalam Belanjawan 2020, Teras yang pertama adalah
untuk memartabatkan Islam. Kerajaan menunjukkan komitmen jitu untuk memastikan
agenda memartabatkan Islam bergerak secara progresif di negeri ini.
Justeru itu, beliau berpendapat bahawa pusat rekreasi ini mesti
diwujudkan agar dapat memberi peluang
kepada wanita beriadah dengan lebih selesa.
Sementara itu, Zuraida menyarankan agar pihak yang berkuasa menyegerakan proses dokumentasi berbentuk kad anak susuan.
“Kad tersebut adalah sebagaimana kad pengenalan atau sijil
kelahiran yang tercatat segala maklumat berkenaan ibu susuan dan anak susuan.
“Langkah ini merupakan aplikasi kaedah saddu al-zara’ie
iaitu mengelakkan daripada berlaku implikasi hukum syarak seperti perkahwinan
sesama mahram susuan kelak,” ujar beliau.
Beliau juga berkata, dokumentasi tersebut diharapkan dapat mengharmonikan lagi hubungan dalam
sistem kekeluargaan Islam.
0 komen: