Wednesday, 27 November 2019

Sidang DUN : 56,884 Penerima e-Kasih Di Terengganu

SHARE

KUALA TERENGGANU, 27 November – Seramai 56,884 rakyat Terengganu telah disenaraikan dalam sistem pangkalan data kemiskinan nasional ( e-Kasih) mengikut lapan daerah sehingga kini.
                         
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat berkata jumlah tersebut melibatkan lapan daerah yang terdapat di negeri ini yang telah direkodkan.

“Jumlah penduduk yang tersenarai dalam e-kasih di Setiu seramai  4,925, Kuala Nerus (7,081), Besut (9,844), Marang (7,142), Hulu Terengganu (4,844), Kemaman ( 5,040), Kuala Terengganu (12,008), dan Dungun (6,000),” ujarnya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Ab Razak Ibrahim pada Mesyuarat Ketiga Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.


Menjawab kepada soalan tambahan Ab Razak tentang berapakah pendapatan isi rumah yang tergolong dalam istilah rakyat miskin serta berapakah bilangan terkini rakyat Terengganu yang berstatus miskin di seluruh negeri Terengganu, Hanafiah berkata jumlah terkini pendapatan isi rumah di bawah ialah RM1,036 manakala bilangan yang berstatus miskin terkini seramai 5,547 orang.

Mengulas tentang langkah-langkah kerajaan negeri bagi membantu menyelesaikan isu kemiskinan di Terengganu, kerajaan negeri telah mengambil pelbagai langkah untuk mengatasinya dengan melaksanakan pelbagai inisiatif.

“Antaranya kerajaan negeri melaksanakan Program Perumahan TerengganuKu Sejahtera (PPTS), Bantuan bekalan air percuma 20 meter padu kepada golongan berpendapatan rendah, Program bantuan persekolahan Skim bantuan-bantuan utama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan  Bantuan-bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM),” ujarnya lagi.

 Beliau turut memaklumkan tentang status terkini pelaksanaan Program Bekalan Air Percuma yang mula dilaksanakan pada akhir tahun 2018 yang mana telah  memberi bekalan air percuma 20 meter padu kepada pemilik rumah PPRT, miskin, miskin tegar e-kasih serta penerima bantuan daripada MAIDAM kini berjumlah 10,005 orang.





SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: