Tuesday, 5 November 2019

‘Semoga Murabbi Ummah Segera Sembuh’ – Hanafiah Mat

SHARE
Ustaz Azhar Idrus. Foto Oleh - Safwan Khairi.
KUALA TERENGGANU, 5 November – Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat mengucapkan takziah kepada penceramah terkenal, Ustaz Azhar Idrus (UAI) yang mengalami kecederaan akibat kemalangan di sini, semalam.

Beliau yang dihubungi pemberita hari ini, turut merakamkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Ustaz Azhar dan mendoakan agar pendakwah bebas itu segera sembuh.

“Saya dukacita dengan laporan semalam bahawa Ustaz Azhar terlibat dalam satu kemalangan semasa dalam perjalanan pulang daripada aktiviti riadah bersama rakan-rakannya.

“Semoga mereka dikurniakan kesabaran dan ketabahan, dan semoga UAI segera sembuh dan selamat menjalani rawatan,” katanya.

Dilaporkan pada jam 4 petang tadi UAI telah memasuki bilik bedah dan dikhabarkan akan selesai pada pukul 7 malam ini.

“Buat masa ini beliau ingin berehat sepenuhnya dan kita tidak dapat menerima sebarang kunjungan untuk sesiapa menziarahi beliau sehingga keadaan mengizinkan.

“Terima kasih atas titipan doa dan ucapan daripada semua,” kata pengendali laman Facebook rasminya, Ustaz Azhar Idrus (Original) sebentar tadi.

Pada kejadian semalam, basikal Ustaz Azhar dikatakan berhenti mengejut menyebabkan dia terjatuh dan mengakibatkan tangan kiri dan hidungnya patah. 

Beliau kemudiannya dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Terdahulu, beliau menyertai kayuhan santai bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah di sekitar bandar raya Kuala Terengganu.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: